Setiga Cerita

Sebatang lilin dan lorong gelap--belakang pasar raya, pintu kedai ternganga, seperti ada seekor ular yang sedia untuk memakan anaknya, dan di latar belakangnya ada Rian--seorang lelaki yang sedang menyelongkar sampah, yang apabila kamu soal kenapa; sebab lorong-lorong ini dan saya, kata Rian, seorang makhluk hidup di tempat ini koneksinya relevan, kan, sebab candlelight dinner tidak pernah wujud di belakang lorong dan di tepi tong sampah.

Dua ribu lima ratus enam puluh kilometer dari sebatang lilin dan lorong-lorong gelap--seorang gadis remaja, di dalam bilik berdepan tingkap, Anjuna Petit melihat bilion bintang bersinar di angkasa, dan jarinya mengutip satu persatu kelipan itu masuk ke saku. Anjuna ingat, kalau kita dapat mengira semua bintang di angkasa dengan tepat, satu bintang khas akan jatuh untuk kita, dan bintang itu boleh dijadikan loket kegemaran atau koleksi peribadi.



Di satu tempat di awangan, di atas langit, Ben, separa malaikat, sedang memerhati, lalu berkata bahawasanya Rian dan Anjuna mempunya 'kimia' yang baik. Sudah lama dia tidak merasakan listrik pasangan yang hebat seperti mereka. Pasangan berdua ini, kata Ben, persis analogi 'pain for pleasure', macam sambaran kilat, atau tamparan ketika bersenggama.

Lalu Ben terbangkan sebuah kapal terbang kertas yang dilipat random, terbang ke arah Rian dan pada masa yang sama ke arah Anjuna juga.

Semasa sedang menyelongkar sampah, tidak jauh dari jarak itu, ada sebuah longkang yang airnya deras mengalir. Rian tidak akan jatuh di dalamnya dan mati jika kehadiran kapal terbang kertas itu tidak wujud dan menyentuh tulang rusuk Rian yang sensitif dan penggeli.

Ketika Anjuna sedang melawan agenda anti-mitos bisikan ayahnya, ia mendarat tepat di anak mata kelabu Anjuna, dan tinggal di sana selama beberapa jam selepas dia perasan yang sebelah matanya tak lagi dapat digunakan untuk mengira bintang.

Asalnya Ben sudah membidik sasaran yang tepat pada kapal terbang--rambut atau bahu barangkali. Namun pada masa itu dia tak tahu yang angin tak akan, atau tak pernah bertiup tekal selamanya pada sebatang lilin dan lorong gelap atau ruang-ruang kamar seorang perempuan.

Lalu, selepas sedemikian, Ben pertimbangkan tawaran kawannya menjadi pembancuh kopi sepenuh masa di kedai kopi Estatika, berlagu petikan piano jazz dan bertrek suara-suara beat poets dan biarkan Tuhan buat kerja Tuhan.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!