Hikayat Mustafi dan Kacang Ajaib

Mustafa terkenal di kampungnya sebagai seorang pemalas. Kerjanya hari-hari hanya tidur di atas bukit sehingga petang. Telinganya juga sudah lali dengan cemuhan orang kampung yang saban hari tidak henti-henti. Begitu juga dengan kedua ibu bapanya, setiap hari memaksa dia untuk mencari pekerjaan supaya dia beroleh jodoh dan meninggalkan rumah. Namun, Mustafa hanya memekakkan telinga sambil tersenyum.

Satu tentang Mustafa yang ramai tidak tahu, ketika kecilnya, dia berjumpa dengan seekor bidadari ketika mengejar layang-layang di atas bukit. Bidadari itu cantiknya seperti musim bunga dan harumnya seperti keseluruhan bunga di dunia dikumpulkan menjadi satu.

“Kelak nanti engkau dewasa, aku akan menjadi isterimu, dan kita berdua akan hidup di atas awan, bermandikan air hujan yang turun dari pelangi. Engkau binalah tangga untuk ke awan agar aku tahu kesungguhan engkau wahai bakal suamiku.”


Demikianlah janji sang bidadari untuk Mustafa. Sejak dari hari itu, hidupnya hanya berfikir tentang bagaimana dia harus membina tangga untuk mencapai awan. Sebab itulah dia menghabiskan hari-harinya hanya di atas bukit.

Suatu hari, dia terdengar kisah tentang seorang jejaka yang memiliki tiga biji kacang ajaib. Kononnya kacang itu membolehkan si jejaka untuk sampai ke awan. Nah, apa lagi si Mustafa, dia bertanya kepada seluruh orang kampung di manakah keberadaan gerhanya si jejaka itu.

Tapi, tiada seorang pun yang mengetahui, melainkan hanyalah khabar angin saja.

Mustafa tidak berputus asa, dia memujuk ibu bapanya untuk membeli semua kacang yang dijual di pasar.

Perkataan “gila” dan “bodoh” yang keluar daripada bibir ibu bapanya tidak dia endahkan. Yang penting, dia dapat apa yang dia mahukan. Setelah lama memujuk rayu, akhirnya mereka pasrah dan turuti kehendak anak tunggal mereka.

Mustafa menanam kesemua kacang-kacang itu di atas bukit. Setiap hari dia ke sana untuk menyiramnya. Sehingga dia membina sebuah pondok kecil agar dia dapat memantau perkembangan kacangnya.

Dia merasakan dirinya lebih cerdik berbanding jejaka yang memiliki kacang ajaib itu. Kalau hanya dengan tiga biji benih dia boleh sampai ke awan, bayangkan kalau sebuah kebun, sudah tentu akan jadi macam hutan di awan nanti.

Setelah sekian lama, kacangnya membesar, tetapi saiznya tidaklah gergasi, hanya seperti saiz kacang yang biasa-biasa saja.

“Mungkin ada sesuatu yang tidak kena, aku kena cuba dari awal lagi, bersabarlah engkau bidadariku. Akan ku bina mahligai untuk kita nanti.”

Jadi, dia mencabut kesemua kacang-kacang di kebun dengan tekun. Dari pagi sehinggalah ke malam. Hasil tuaiannya, dia jual di pasar pada esok pagi untuk membeli lebih banyak kacang lagi.

Sungguh mengejutkan, jualannya laku dalam masa sehari.

Tapi, setelah tanamannya membesar, masih tiada kacang ajaib yang dia perolehi. Itu semua tidak mematahkan semangat Mustafi, proses yang sama dia ulangi sehinggalah ada yang menceritakan, di atas bukit sana, ada hutan kacang yang tebalnya jika dimasuki, perlu dua hari untuk tembus ke penghujung.

Pondoknya yang dahulunya kecil kini sudah menjadi sebuah rumah yang sangat besar. Mustafi kini bergelar pedagang kacang yang kaya raya dan ditemani oleh isterinya yang cantik. Mereka bertemu ketika Mustafi menangis seorang diri di tengah kebun kerana merasa hampa dan gagal untuk bertemu dengan bidadarinya di awan sana.

Mustafi tidak lagi mahu membina tangga untuk ke awan. Baginya, bidadari itu sudah berkahwin dengan jejaka yang mempunyai kacang ajaib.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!