Laju


Aku sepatutnya bukan di sini. Bilik ini saling berganti pengunjung. Ada di antara mereka yang membawa lelah dari tempat jauh dan melepaskan ia di atas katil semalaman. Ada juga yang membawa curiga bagaimana rasanya duduk sekatil dengan perempuan. Ada juga yang membawa ketakutan, takut kalau-kalau ada jembalang yang muncul dari bawah katil. Juga mereka yang membawa dosa dari luar hanya untuk menambahnya. Tidak lupa juga ahli-ahli syurga, yang sering mengetuk pintu, dan menangkap mereka yang sedang hanyut dengan syahwat.

Pokoknya, bilik ini lebih keji dari para pemabuk dan pencuri di luar sana.

Aku sepatutnya berada di kedai hadapan. Dengan harapan, tuan kedai setuju sekiranya aku pulangkan cincin yang aku beli minggu lepas. Biarlah, asalkan cincin itu dipulangkan dan harap-harap ia akan disarungkan ke jari orang yang lebih layak daripada dia.

Aku tidak benci dia. Malah, aku sayang. Ataupun cinta. Aku juga sudah keliru. Adakah aku hanya percaya kepada idea untuk mahu memiliki raut wajah dan tubuh badan yang menggiurkan itu. Atau aku sekadar percaya kepada idea bahawa berkahwin itu suatu kewajiban bagi lelaki yang sudah mampu.

Apa sebenarnya maksud ‘mampu’ itu? Kalau menurut orang kebanyakan, mampu itu mampu dari segi kewangan dan tanggungan. Kalau begitu, aku layak. Cuma, ibunya mahu lebih daripada sekadar ‘mampu’.

Aku mungkin kesian kepada dia (bukan ibunya, tapi dia). Dua minggu lalu dia kata biar apa pun yang berlaku, kami akan tetap berkahwin dan pedulikan apa kata ibu bapanya. Tapi, tadi, dia diam, dengan raut tidak menunjukkan apa-apa perasaan. Bila ibunya kata tidak, dia diam.

Diam itu, tanda setuju.

“Kamu berdua jangan terburu-buru,” kata ibunya. “Kau kena cari kerja yang lebih baik daripada sekarang,” sambungnya.

Kami sepatutnya setuju dan berusaha lebih gigih. Bukan datang ke sini.

Tadi, dia kata dalam kereta, sudah tiada cara lain untuk buat orang tuanya setuju. Cara baik sudah dilakukan, jadi kena guna cara kasar.

Sekarang, dia berada di atas badan aku. Mungkin, dia teruja, atau gementar, atau suka. Yang pasti aku keliru sama ada ini betul ataupun salah. Tapi, menurutnya, lepas ini mereka akan tetap bersetuju. Mahkamah kan kata begitu?

“Abang mau macamana? Laju? Atau pelan-pelan?”

Ya. Aku memang patut berada di sini.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!