Bulan di atas Kuburan


Aku cukup gembira tahun ini. Tiga tahun aku beraya di luar negara, tahun ini, aku balik kampung. Betul lah kata orang, bersabar, lama-lama ia pasti akan membuahkan hasil. Terima kasih, Tuhan.

Rasanya yang aku rindu sangat selain keluarga adalah suasana beraya tu sendiri. Yalah, jauh bezanya beraya di negara orang lain berbanding negara sendiri. Bukan tiada orang Malaysia di German, ada juga, tapi aura dia tidak sama. Macam mana juga kalau kau seorang saja pakai baju Melayu masa kelas. Jumpa kawan senegara pun, lepas kelas. Itu pun, sikit.

Yalah, kalau di kampung dulu, kami pasang pelita; siap bertanding sesama jiran. Solat terawih beramai-ramai, tolong mak buat kuih, cat rumah, tukar langsir, ah, semua benda klise yang kau pernah tengok waktu dekat beraya lah. Itu yang aku rindu sebenarnya. Bagi aku itulah suasana hari Raya. Bukan waktu ziarah. Itu bagi aku, sama lah seperti kalau kau buat kenduri doa selamat dan jemput orang ramai. Bagi aku lah, entahlah kalau kau.

Dan memandangkan aku ni anak mak, aku nak tunaikan pesan mak aku dulu; cari jodoh orang kampung; dekat, jimat kos, dan seperti aku, baik dan sungguh taat kepada agama. Jadi, Raya tahun ni, aku mau cari bakal isteri di kampung. Kalau boleh, kahwin terus, boleh bawa balik German. Kan?

Tapi, semua yang aku rindu dan impikan sudah bertukar menjadi mimpi ngeri. Semangat beraya di kampung sudah hilang. Aku sudah tidak nampak orang pasang pelita. Pelita yang aku beli pun, mak suruh jangan pasang. Bila aku tanya kenapa, mak kata dia risau kalau jatuh nanti, rumah terbakar. Solat terawih pun sudah makin sikit, maka baru puasa ke-10. Takkan orang kampung tukar mazhab? Bila tanya abah, dia kata ramai yang belum balik kampung. Mak sudah tidak buat kuih Raya lagi, dia tempah dari entah siapa entah. Aku tegur, sebab kos tempah jauh lagi mahal. Tapi mak kata dia sudah tempah sebelum puasa, kalau tarik balik, buruk siku.

Semua sudah berubah. Orang muda di kampung ni pun perangainya, ya ampun, mengalahkan Firaun. Kasut Converse yang aku paling sayang kena curi, aku tahu kena curi sebab aku nampak ada tiga orang budak yang lari bawa kasut aku pakai motor. Mahu kejar, tapi pakai motor. Masa sembahyang Raya, aku nampak kasut aku, bila aku angkat mahu ambil, dorang boleh tuduh aku mahu curi kasut dorang. Gila.

Bakal bini? Aduh. Rasanya elok lagi perempuan di German biarpun tidak berpakaian macam perempuan di sini. Sini, gedik mau mampus. Kalau ditengok, berbusana Melayu dan Islamis. Tapi, sendat. Sudah tu, perangai plastik. Bila dorang dapat tahu yang aku belajar di German, semua acah-acah baik, berlagak mahu rapat dengan mak dan abah. Patutlah mak tanya aku masa mula-mula sampai, kenapa aku balik sendiri.

Aku kecewa. Perlahan-lahan perubahan ini berlaku. Malamnya aku tanya abah, pasal kenapa sudah tidak macam dulu. Abah geleng kepala, malas fikir katanya.

Malam itu aku dapat lihat bulan mengambang. Ia mengingatkan aku kepada teman wanita aku dulu. Dia gila puisi. Yang aku ingat sampai sekarang cuma satu, sebab dia baca waktu aku putuskan dia sebelum malam takbir tahun lalu.

‘Bulan di atas kuburan.’

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!