Toko Buku dan Hujan


Waktu dia cakap begitu, hujan tengah turun, aku tengah serabut dengan sikap dia, dan dia sudah memutuskan untuk mahu hidup tanpa gajet. Entah kenapa aku tanya dia, adakah jam yang dia tengah pakai tu termasuk gajet. Dan raut wajahnya berubah, seolah-olah terlepas sesuatu dan mengangguk sambil ketawa. Dia anggap benda ini benda lucu dan masuk akal. Meninggalkan gajet dan cuba hidup tanpa mereka di zaman ini adalah satu kegilaan. Tapi dia berdalih. Katanya ini adalah keputusan dia dan aku sebagai teman lelaki wajib bagi sokongan. Gila.

Dan dia kata, aku juga kena buat begitu. Aku tanya dia sama ada dia buat lawak atau serius. Dia tatap mata aku bagai busur panah. Yang dia lepaskan ke jantung hatiku, dan seolah-olah berkata, “Ini benda serius,” dan itu buat aku tertelan air liur. Aku beranikan diri, tanya sampai bila, dia jawab sampai Ahad ni. Memandangkan hari ini hari Jumaat, aku mengalah dan bersetuju. Jadi dia simpan semua gajet kami di dalam sebuah beg kain yang dia tenun sendiri berdasarkan fusi corak gipsi dan bohemian. Satu gabungan budaya yang agak pelik dan mungkin bagi mereka yang tidak tahu apa-apa, langsung tidak akan mempedulikannya.

Aku tengok dia sangat gembira pada waktu itu. Entah apa penyakit yang buat perempuan jadi gembira dengan benda-benda yang hanya dorang saja boleh faham, dan lelaki pula lebih layak diam dan jangan melawan. Mungkin sebab itulah watak ahli sihir banyak dipegang oleh perempuan sebelum ianya diambil alih oleh budak kecil. Mungkin realitinya, perempuan tidak perlu berkata-kata manis untuk memikat hati lelaki. Sedangkan, aset terbaik lelaki adalah kata-kata. Dan barangkali, dengan hanya senyum manis daripadanya, aku sudah tersihir.

Dia pesan lagi, Ahad ni jangan lupa. Aku angguk dan tanya jam berapa, dia kata sekitar jam-jam begini, di meja ini. Dia berdiri, kata dia nak pulang dan suruh aku jangan ikut dia. Dia ucap terima kasih sebab faham. Wajahnya tampak ceria jadi aku tidak berani tanya dia adakah dia tengah buat lawak atau serius. Jadi aku biarkan dia pergi ditelan lautan manusia dan aku ditelan sunyi.

Aku tidak tunggu lama. Aku beli telefon baru. Dan hari-hari seterusnya, aku ditemani oleh menonton filem dan melancap.

Bila aku periksa laman sosial dia, ramai yang ucap tahniah. Tapi, tiada satu ucapan pun dia balas atau klik suka. Mungkin betullah, dia sudah tinggalkan gajet. Aku tumpang gembira di atas kejayaan dia.

Hari ini hari Ahad. Pagi tadi aku sempat tengok balik laman sosial dia, masih lagi berhabuk seperti dua hari lepas. Aku tatap gambar dia lama-lama di laman sosial sebelum buang telefon baru. Itulah kali terakhir memori aku tentang dia dan laman sosial.

Aku sepatutnya jumpa dia di kedai buku, pada jam begini. Tapi aku lambat, sebab aku singgah ke kedai bunga. Bila aku sampai, dia sudah menunggu dengan senyuman dan dua gelas kopi panas. Sebelum aku duduk, dia minta maaf, dia kata dia sudah buang semua gajet kami dan nekad untuk hidup tanpa gajet. Aku tahu dia akan cakap begitu. Aku hulurkan dia bunga dan bawa dia tinggal di dalam hutan, atau di tepi sungai, atau mungkin di atas bukit supaya kami boleh tengok matahari terbit dan bintang di malam hari.

Dan dia setuju.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!