Kesepian itu Sebenarnya Tiada

Kenapa?

Ada di keramaian, pada pesta hujung minggu yang menyesakkan, Kesuma terasa di dalam benaknya ada satu perasaan seperti dendam, atau sumpahan.

Kesuma mengambil dompet di belakang saku seluar lalu membukanya. Di dalamnya ada debu dan sebuah lohong hitam kosong. Kesuma memasuki lohong itu, meninggalkan pesta sendiri di makam keramaian.

Sekejap, Kesuma kata.




Kesuma berlegar-legar, mencari pasir pantai, mencari cengkerang untuk dijadikan hiasan rumah, atau seekor kuda yang boleh membawanya melancong di dalamnya. Tiada. Semua tiada. Lalu dia membuat unggun api.

"Kesuma!" suara lelaki datang dari belakang menerjah. “Ini saya lah, James,” katanya tanpa memberi salam. Tidak ada orang akan tahu kau memberi salam James, kata Kesuma, sebab sebenarnya kita berada dalam lohong hitam, between the both of us, nobody’s going nowhere fast.

“Jadi, adakah kesepian membawa kau ke sini lagi?” tanya James. Kesuma menggeleng kepala, senyum, mengambil marshmellow lalu memanggangnya di unggun api. Kesuma ingat-tak-ingat siapa James sebenarnya. Adakah mereka berkawan? Akrabkah mereka sehingga dia boleh membuat kelakar sebegitu?

Tidak penting barangkali, kata Kesuma.

Di leher James ada kantung kulit berwarna coklat. James menyeluknya, Kesuma harap yang diseluk James itu bukan lohong-di dalam-lohong lagi. Terlalu infiniti.

“Bukanlah,” katanya, “Ini,” sambil menunjukkan kaki prostetik, hampir sama saiznya dengan kaki Kesuma. Kesuma teruja, adrenalinnya menderu laju dan tanpa menunggu, dia ambil gergaji, lalu memotong kakinya.

Selepasnya, Kesuma kembali ke pesta hujung minggu yang sesak itu dengan kaki prostetiknya yang baru. Dia berjalan di antara keramaian, menggunakan kaki protestik sebagai tongkat. Kakinya yang baru saja dipotong dibiarkan begitu saja. Darah merembes ke khalayak, membasahi muka mereka.

Orang ramai mula berpusu-pusu ke arah Kesuma. Mereka terpegun, melihatnya sebagai benda yang unik, pelik, sesuatu yang berkemungkinan besar boleh dijadikan sebagai kawan, sesuatu yang mendorong mereka untuk bertepuk tangan--ada yang histeria, hampir pengsan.

Kesepian itu sebenarnya tiada. Iya. Kesuma menganggap kesepian itu hanya pandangan yang tiada-tiada.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!