Sayap-Sayap Patah

Ketika bandar menjadi sunyi tanpa kelibat manusia, seorang (atau seekor) malaikat muncul di ruang udara bumi. Niatnya cuma satu, untuk membantu manusia. Tapi, dia ada piawaian sendiri. Dia hanya mahu membantu mereka yang dia rasa layak. Selebihnya, dia serah pada yang lain.

Ini masalah dia--terlalu memilih. Nah, tengok, dia nampak ada orang tua yang dirompak, tapi dia biarkan. Katanya, tidak menarik.

Lama dia berada di ruang udara. Hampir habis rokok sekotak. Belum ada seorang pun manusia yang menarik minatnya.

“Mungkin aku harus pulang saja,” kata dia dalam hati. “Esok, esok pasti ada client.” sambungnya.

Sewaktu dia berkemas-kemas mahu pulang, dia ternampak seorang budak kecil keluar dari sebuah kotak. Comot. Tapi warna matanya hijau pekat. Seperti daun yang masih segar dan belum dicemari.

Entah mengapa, budak itu menarik perhatiannya. Dia rentangkan semula kain, duduk dan membakar sebatang rokok. Matanya, tertumpu ke arah budak kecil itu.

Budak kecil itu sedang berdansa di bawah cahaya lampu neon. Merasakan dirinya berada di ballroom yang gah. Mungkin dia membayangkan dirinya seorang puteri raja yang sangat cantik, memakai busana era Victorian yang membuatkan gadis-gadis bangsawan cemburu dan semua mata para jejaka melekat padanya.


Di atas langit, tanpa disedari dia tersenyum. Hatinya berbunga-bunga. Lantas menepuk tangannya tatkala budak kecil tunduk seakan-akan sedang diberikan tepukan yang gemuruh.

Kali ini budak kecil itu membongkar tong sampah. Seperti ada benda yang bernilai kepada dirinya sudah hilang. Disebabkan badannya kecil, dia terjatuh ke dalam dan badannya tersekat gagal keluar.

Si malaikat menjadi kelam-kabut. Pantas dia mengibarkan sayap dan meluru menyelamatkan keadaan.

Dengan sekali petikan jari, budak kecil itu bebas. Saling berbalas ucap terima kasih dan sama-sama.

Budak kecil itu tanya, dia siapa. Dia beritahu tentang dirinya, dan dengan bangga dia kata dia boleh tunaikan apa saja permintaan budak kecil itu.

Budak kecil itu teruja. Dia mahu makanan, baju baru dan teddy bear yang besar. Dan dengan sekali petikan jari, hajat budak kecil itu tertunai. Mereka berdua gembira.

“Satu lagi,” kata budak kecil itu. Malaikat angguk, bersungguh-sungguh mahu membantu.

“Kembalikan aku ke masa lampau, supaya aku boleh jumpa ibu bapa aku dan beritahu mereka yang aku tidak perlu dibuang masa aku bayi.”

Hati malaikat luntur. Seperti kaca yang jatuh.

“Esok,” katanya.

“Janji?” tanya si budak kecil.

Malaikat angguk dan meminta izin untuk pergi. Ketika di udara, dia menangis. Dia dapat dengar budak kecil itu bercakap dengan teddy bear barunya.

“Esok aku akan jumpa dengan ibu bapa aku,” kemudian dia berdansa dengan teddy bearnya.

Malam semakin sunyi.

Dan satu janji bakal tidak dipenuhi.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!