Artistic Minds: Lukisan Deria, Jekaril Jinggom


Selari dengan tema kami pada kali ini iaitu mesin waktu, saya teringat waktu kami pertama kali berjumpa--

Kami duduk di gerabak yang sama sepanjang 7 jam 30 minit perjalanan ke pekan Tenom. Di antara ramah mesra orang sekeliling, Jekaril hanya berdiam. Tatapan matanya skeptik melihat keadaan sosial sekeliling--sunyi. Dia lebih mesra melihat pemandangan di luar tingkap usang, melihat cahaya matahari menyelinap masuk melalui celah-celah daun. Tangannya pula tidak lekang memegang pensel, melakar kemahuannya.

Isyarat tangan memecahkan kesunyiannya--di sana saya baru mengetahui bahawa Jekaril adalah artis dengan kelainan upaya (OKU), iaitu pekak.

Jekaril Jinggom yang berasal dari Kampung Padawan, Papar, sudah mula melukis sejak di bangku sekolah lagi, dan menganggap peluang melukis mural di SM Teknik Keningau (2001) sebagai saat breakthrough kariernya dalam bidang seni lukis.


"Kategori lukisan saya sekarang adalah karikatur. Mengapa saya pilih karikatur? Sebab lukisan karikatur ini dapat menjana keuntungan yang lebih banyak dan senang berbanding dengan yang lain,” jawab Jekaril bila ditanya apa motivasi memilih karikatur sebagai sebahagian repertoirenya selain dari minat yang kuat. Minat Jekaril melakar karikatur sejak dari 2008 telah membawanya ke pelbagai acara seni, dan seterusnya menjadi salah seorang residen Laman Seni juga pada tahun yang sama.

Seni lukis kartun, potret dan mural berkomunikasi kepada Jekaril sejak dari tahun formasi pada masa televisyen dan media lain tidak dapat diakses, dan memberikan Jekaril lebih dari kepuasan merealisasikan lakaran baru, “Saya merasa senang bila melukis. Saya akan lebih rasa selesa dan tenang bila melakukannya, tidak pernah merasa bosan. Kadangkala jika mula melukis, saya seperti tidak ingin berhenti, seperti ingin menghabiskan masa seharian untuknya.”


Ketiadaan bunyi tidak selalu bermakna keheningan infiniti--tapi ada masanya komunikasi aural dan isyarat tangan saling tidak memahami. "Agak susah untuk berkomunikasi. Kadang-kadang klien hanya bercakap kepada saya, dan saya memberi isyarat bahawa saya tidak boleh mendengar. Selalunya, untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak pandai berbahasa isyarat, saya menggunakan alat tulis dan kertas, meminta mereka menulis apa yang mereka mahu."

Saya tertanya, adakah kelainan upaya memberi kelebihan kepada Jekaril. Adakah karya-karyanya didahulukan berbanding karya pelukis lain semasa pameran seni, contohnya.

"Saya tidak mempunyai apa-apa kelebihan dalam hal itu. Kami semua diberi peluang yang sama, penilaian yang sama. Siapa yang lebih baik maka layaklah dia menerima anugerah. Bukan kedudukan atau keadaannya."

Pelbagai perspektif yang kita boleh lihat dari setiap lukisan, apatah lagi perspektif si pelukisnya. Namun mesej tersirat itu tidak memerlukan audiens untuk menggunakan kelima-lima deria--ia hanya memerlukan jiwa. Satu jiwa yang dapat merasai pembawaan setiap lukisan tersebut.

Pesan Jekaril kepada mereka yang ingin memulakan karier sebagai pelukis, terutamanya orang kelainan upaya (OKU), agar tidak cepat berputus asa. Dan yang paling penting, jangan jadikan kelainan keupayaan diri sebagai alasan untuk tidak berusaha untuk memajukan diri sendiri!

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!