"Rangga, kau memang celaka," –Johnny

Akibat terlalu ketagih menggaru kepala untuk mengopek keruping kelemumur, Akhil berjaya memisahkan otaknya daripada kepala.

Namanya Johnny. Dia keliru sama ada mahu guna nama James Bond atau Jeremiah Bogus. Tapi, kombinasi kaca mata hitam dengan nama Johnny dilihat lebih bergaya.

Sejak dari hari itu, mereka menjadi sahabat karib.

Ke mana saja mereka bersama. Melekat seperti pasangan kekasih.

Dengan adanya Johnny, Akhil sudah tidak mengejar cinta yang tidak pasti. Johnny mengajar dia untuk hidup dengan lebih teratur. Akhil kini berpegang kepada prinsip hidup ‘cinta hanya melemahkan’. Lagipun, tiap kali Akhil nampak gadis cantik, Johnny akan memberikan nasihat kepada Akhil. Inilah kelebihan jika berkawan dengan otak.


Tapi, satu malam tu, Akhil lapar betul. Dia ke kedai makan dan meninggalkan Johnny di rumah yang sedang tidur.

Di sana, dia ternampak seorang gadis yang sangat cantik. Senyumannya menyihir. Sepantas kilat dia jatuh cinta sehingga tiada seorang pun di kedai makan itu yang menyedarinya.

Tiba-tiba dia terdengar ketukan dan suara bergema dari dalam badannya. Menjerit “HOI! HOI! HOI! AKHIL! AKHIL! AKHIL!”

“Siapa kau?!” Akhil tanya kepada suara yang sedang bising menjerit itu. “Rangga! Sekarang cepat kau keluarkan aku.”

Akhil keliru.

“Rangga?”
“Ya! Aku hatimu! Cepat! Sudah lama aku tunggu peluang ini!”

Akhil diam. Rasanya dia sudah gila. Tanpa memperdulikan Rangga, dia bergegas pulang ke rumah dan mengejutkan Johnny. Apabila diceritakan, Johnny ketawa terbahak-bahak. “Rangga? Nama apa tu? Aku tidak takut. Kau keluarkan dia. Biar aku berdepan dengan dia.”

“Kita bertarung,” kata Rangga dengan yakin. “Siapa kalah, balik ke tubuh Akhil.”

“Kau serius?” tanya Johnny, ego. Rangga mengangguk. Matanya serius. Tampak keyakinan daripada sekujur hati yang bersaiz lebih kecil daripada Johnny yang sasa.

Tapi, siapa sangka, sejiwang-jiwang Rangga, dia berjaya mengalahkan Johnny. Ternyata, kekuatan cinta itu mampu menewaskan keangkuhan akal. Tidak cukup dengan itu, Rangga telah membantu Akhil untuk menawan gadis idamannya. Sejak dari hari itu, Akhil menjadi mat bunga yang penuh dengan kata-kata manis. Akhil kini bahagia dengan teman wanitanya.

Dengar cerita, Johnny kini membisikkan ayat-ayat kejahatan kepada Akhil setiap kali dia tengok gadis lain.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!