Puisi, Mari Menari


Mari mencari aksara
yang bersembunyi dibawa angin,
di sana,
terdapat makna
dan rahsia rasa.
Bila jumpa,
ingat
ikat
erat-erat.

Aksara bercampur rindu selalu berwarna sedih
kerana jauh alamatnya.
Namun bacalah dengan hati,
menjadi ia puisi
yang mencuri
madu bunga-bunga,
agar melekat dua hati.
Ingat, jangan lepas.
Malah ikat pada sayap malaikat
untuk kirim ke depan pintu hati yang mengingat.

Mari mengetuk pintu langit.
Jemput matahari mencintai puisi,
biar awan menjadi bantal yang selesa,
namun jangan hanya dibaca ketika siang,
nanti bulan akan cemburu miang,
bacalah juga waktu malam,
agar bulan menari bersama bintang,
mendendang lagu bersama pari-pari,
dan
hujan juga bisa menari dengan terpesona,
bukan memberi khabar kecewa.
Maka jangan berhenti,
biar sampai mati,
kata-kata jadi puisi,
barulah hidup indah bermakna.

Puisi biar jadi senjata
melawan sejuta derita,
berdendanglah puisi di jalan raya,
gertak dewa-dewa yang gementar berpura-pura di dewan khayalan,
ayuh! bersatulah puisi-puisi kaki lima,
tidak rugi berpuisi jika revolusi mampu buat kita menari.

Citra puisi, adalah ruang hati bersuara,
aksara jangan dipenjara kata-kata duka,
bukan juga untuk meraih anugerah dunia sementara,
ia rumah pencinta,
seperti Rumi dan Neruda,
di mana hati duduk bertakhta,
gila mabuk merai cinta.
Kerana bukan puisi yang menghidupkan cinta,
namun cinta yang menghidupkan puisi.

Aksara membentuk puisi,
itulah kata hati.
Ingat
ikat
erat-erat.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!