Halus


Neza lihat ada sebuah cermin di situ, di sebalik timbunan perabot rosak yang terbuang. Dia duduk memeluk tubuhnya. Kelihatan sudah lama ditelan usang, lalu Neza membawanya balik ikut ke rumah.

Sampai sahaja di rumah, pertama kali yang Neza buat pada cermin itu adalah memandikannya, membasuh badannya yang comot dengan lumut dan debu, mengeringkan, dan selepas itu hidangkan sisa bijirin yang Neza tak habis makan pagi tadi.

Tanpa sedar, Neza bertanya soalan pada cermin itu kerana dalam filem-filem yang dia pernah tengok, ketika inilah soalan-soalan disuakan, seperti "Keluarga engkau di mana?" atau "Kenapa bersendirian?" atau soalan-soalan klise yang lain seperti itu. Masa inilah yang paling sesuai, mengharap di sebelah pihak yang sepertinya teraniaya ini merembeskan segala duka dalam benak, lalu sebentar lagi mata Neza akan bergelinang dengan air.

Namun cermin hanya membisu. Dia mengangkat dirinya ke sudut yang paling cerah di rumah ini, merenung jauh ke luar jendela. Merpati terbang mengelilingi bumbung rumah sebelah, langit berwarna oker, hari indah. Namun dalam matanya terbit taman dalam neraka. Neza coba untuk faham, membiarkannya bersendirian dengan lagu fusi salsa dan Adib Sin.

Seperkara yang Neza bersedih dengan cermin itu apabila seekor lalat hinggap di badannya. Bukan kerana usahanya menghalau lalat itu, namun dia hanya biarkan lalat tersebut meramas seluruh tubuhnya, merelakan dirinya disetubuh tanpa henti. Neza nampak, yang cermin itu menghukum dirinya sendiri seperti segumpal tahi di tepi jalan.

Ayuhlah, kata Neza berusaha walaupun tahu cermin itu tidak akan memberikan sedikitpun reaksi.

Malam-malam, Neza membaca buku di depannya, menulis, mendeklamasi sajak, atau tidak, Neza membuat parti persendirian di rumahnya. Yang hadir hanyalah Neza dan cermin dan pizza dan mufin dan avocado telur separuh masak. Kedengaran mereka cukup meriah, cukup gembira daripada malam-malam lain yang berlalu suram.

Hari-hari yang berlalu membuatkan hubungan mereka semakin rapat. Semakin hidup mereka seperti bercantum dalam satu tubuh, sehati, sejiwa. Lalu pada satu hari, sewaktu baru bangun, di pantulan cermin, Neza melihat di dalamnya ada seorang lagi Neza.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!