Anjing


Ada satu pasangan--mereka tampak masih muda. Keduanya berkulit sawo matang--yang lelakinya berkulit sedikit gelap dari si perempuan. Mereka melintasi Orange sambil berpegang tangan, agak kekok, seperti salah satu daripada mereka memegang sesuatu yang tidak betul, sesuatu yang aneh, pelik, seperti di antara genggaman tangan mereka ada seekor katak puru menggelupur ingin melepaskan diri.

Walaupun sebelah tangan perempuan itu memegang rokok, tangan sebelahnya tidak dilepaskan--kuat genggamannya. Begitu juga sang lelaki--membuka pintu kaca Orange hanya menggunakan sebelah tangannya yang bebas. Nampak jelas mereka baru saja sedang bercinta.

Selepas sahaja kedua-dua pasangan itu masuk ke kedai, ada sepasang kekasih lagi. Ketinggian mereka sama, dan juga warna kulitnya. Kedua-duanya agak gempal. Mereka jalan berjarak--si perempuan di belakang, menggelengkan kepala melihat si lelaki memperbetulkan seluarnya yang terlondeh, jalannya sedikit kangkang, sebelah kaki terinjut-injut membetulkan cawat seluar.

Di seberang jalan, ada seekor kucing. Pergerakannya gundah, mencari sesuatu di sebalik gelap, kadang ke kiri, kadang ke kanan. Jalannya laju. Mengiau bising. Selepas itu keluarlah seekor anak kucing lagi, yang lebih kecil. Kucing tadi mengusap kucing yang kecil itu, kemungkinan besar anaknya. Kemudian dia mengendong anaknya--seperti seorang ibu mengendong anak--cuma situasi ini dia menggunakan mulut--dan sebelum dia melintas jalan, meletakkan anaknya tidak jauh dari dirinya.

Tidak banyak kenderaan lalu lalang di jalan raya, cuma, apabila ibu kucing itu melintasi jalan raya, ada sebuah lori simen dipandu dengan laju menerjah ke arah kucing.

Pasangan yang baru sahaja keluar dari Orange itu melintasi jalan, sama jalannya dengan kucing yang kini sudah menjadi bangkai, dagingnya berselepet di atas tar. Mereka menutup hidung serentak, tiada riak sedih nampak di wajah keduanya.

Di sebelah satu pasangan lagi, si perempuan menoleh sebentar melihat daging kucing yang bersepah di jalan raya, lalu meneruskan perjalanan dan keduanya masih berjarak seperti biasa. Si pemandu lori pula meneruskan jalan dengan kelajuan yang sama, deruan enjin hilang sekelip mata.

Pada waktu itu, ada satu suara berkata, tidak silap saya ia berbunyi "Celaka," atau sesuatu seperti perkataan menyumpah. Orang ramai yang berada berdekatan saya mula melihat saya termasuk pasangan-pasangan tadi dengan wajah pelik, berkerut kening, segelintir wajah mereka seperti melihat seekor anjing yang sedang menyumpah, memaki dengan sebutan perkataan yang baik dan pengunaan tatabahasa yang betul.

Saya naik ke atas, berjumpa dengan Ramond lalu menceritakan segalanya.

Kau mahu saya ikut bersedih, sekali ikut menyumpah ka ni, tanya Ramond. Saya ikut keliru mahu dia berbuat apa, atau sebenarnya saya nak tahu kenapa semua orang melihat saya daripada melihat ibu kucing dan anaknya yang sudah mati itu.

Oh, kata Ramond, mungkin sebab pil yang kita beli kelmarin itu berkesan malam ini. Siapa saja yang tidak pelik lihat kita bercakap sebab kita...

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!