Kau Adalah Sebuah Warna yang Hilang

Pelangi bukan macam anak orang lain--dia membesar di jalanan. Di sanalah dia tinggal dan makan sisa-sisa orang lain. Setiap hari Pelangi bersedih mengenang nasibnya dan sering cemburu melihat mereka yang sebaya dengannya berpimpin tangan bersama ibu bapa. Memakai pakaian cantik-cantik dan dibelikan mainan baru. Pelangi juga mahu seperti itu. Tapi, setiap kali dia mahu menghampiri kedai mainan, dia akan dihalau dan kadang-kadang dipukul kerana dikhuatiri akan mencuri makanan.

Namanya diberikan oleh rakan imaginasinya. Hujan, dia menggelar dirinya. “Siapa nama kau?” soalan itu tidak mampu dijawab oleh Pelangi. Dia tidak tahu apa-apa mengenai dirinya kecuali dia perlu makan dan tidur. Hujan hanya senyum. “Baik, aku akan panggil kau Pelangi. Ya, mulai dari sekarang, nama kau Pelangi.”


“Pelangi? Apa itu?” soalan Pelangi itu buat Hujan ketawa. “Pelangi itu jambatan ke syurga. Pelangi sangat indah dan berwarna-warni. Macam pakaian aku.” Gelagat Hujan membuatkan Pelangi tertawa. Rasanya ini kali pertama dia ketawa sebegini. Yang berdiri dengan yakin di hadapan dia ialah seorang kanak-kanak yang sangat ceria, berwajah bersih, wangi dan mengenakan pakaian yang berwarna-warni. Seperti Pelangi.

“Saya ialah kawan imaginasi kamu, dan mulai dari hari ini, kamu tidak akan bersedih lagi.” Kata-kata Hujan itu menceriakan Pelangi.

Kini, Pelangi sudah tidak merasa bosan dan sedih. Bagi Pelangi, Hujan adalah warna yang menceriakan malamnya.

Suatu hari, Pelangi bertanya kepada Hujan, di mana tempat tinggalnya. Hujan kata dia datang dari langit. Pelangi tanya; di langit ada apa? Hujan senyum dan menjawab, “Kau dan aku ada di sana.”

“Semua orang di langit macam kau ya Hujan?” tanya Pelangi. Hujan hanya diam dan membalas dengan senyuman. “Esok, aku bawa kau ke sana ya, Pelangi. Esok aku akan bawakan kau pakaian cantik-cantik untuk kau pakai di langit.” Pelangi mengangguk dan berharap hari esok cepat tiba.

“Esok, Pelangi, aku akan bawa kau tinggal di rumah kami. Aku janji.”

Dalam perjalanan pulang, Hujan didatangi oleh dua lelaki mabuk.

Esoknya, kisah seorang anak orang kaya yang dibunuh tersebar di sekitar kota.

Malam itu, Pelangi kembali menjadi tidak berwarna.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!