Siti Salehah, Gadis Rebel


Walaupun haid, Siti Salehah tetap bangun seawal pagi untuk membantu ibunya menyiapkan sarapan pagi. Sudah menjadi kebiasaan sejak dari bangku sekolah sampailah sekarang. Biarpun baru habis tingkatan lima, Siti Salehah masih lagi dengan kerajinan dia di rumah.

Usai membantu ibu, dia terus bergegas mandi dan bersiap untuk ke tadika tempat dia menjadi guru sandaran. Setiap pagi, Siti Salehah akan singgah di kedai Pak Malim untuk bantu memberi makan kepada ikan dan itik. Kesian Pak Malim, sudah tua dan tiada anak yang tinggal bersamanya. Kemudian, Siti Salehah akan singgah sebentar di sebuah pondok yang agak jauh sedikit dari kawasan kampung. Sanalah tempat kegemaran Siti Salehah. Satu-satunya tempat di mana Siti Salehah boleh menikmati pemandangan alam sambil mendengar lagu punk kegemaran dia tanpa gangguan sesiapa.

Ya. Siti Salehah bukanlah Siti Salehah macam dalam kepala otak kau. Walaupun dia juga berpakaian sopan―ayu-ayu begitu, bercakap lembut dengan orang, taat kepada ibu bapa dan agama, tidak tergedik-gedik depan lelaki sado, pandai memasak terutamanya ayam masak kicap, rajin mengemas rumah―ah, gadis tipikal yang kau suka bawa jumpa ibu bapa kau la. Tapi, kau silap, dia peminat setia lagu-lagu punk. Dan kalau kau setakat dengar Green Day, blink-182, Simple Plan, My Chemical Romance, eh, kau pergi jauh-jauh. Siti Salehah tidak dengar itu semua. Tidak true katanya. Dia bukan poseur macam kau.

Semuanya bermula dua tahun lalu, waktu dia masih belajar di sekolah asrama penuh. Ya lah. Jauh dari keluarga. Macam-macam boleh jadi. Tengok macam si Lat anak Pak Hamid dari kampung sebelah, masuk asrama penuh juga, kelas engineering. Tapi, lepas setahun, kena pindah sekolah. Bukan sebab dia hisap rokok kah, dadah kah, apa lagi tetek, tapi dia pergi menyamar jadi hantu, konon-konon mahu takutkan pelajar perempuan. Tapi dia silap, waktu tu malam Jumaat. Dengar cerita daripada kakak dewan makan, ada hantu betul di sebelah si Lat masa dia menyamar. Nah, sebab terlalu takut, si Lat pindah ke sekolah yang dekat dengan kampung.

Tapi, kes Siti Salehah pula, dia ni terpaksa masuk asrama penuh. Sebab di sekolah lama dia, tiada kursus kejuruteraan. Jadi, demi mencapai cita-citanya untuk menjadi jurutera, terpaksalah dia masuk sekolah asrama penuh yang ada kursus kejuruteraan. Begitu. Awalnya, ibu bapa Siti Salehah berat hati mahu lepaskan anak emas mereka. Namun, setelah dipujuk rayu oleh Siti Salehah, terpaksalah juga ibu bapa Siti Salehah lepaskan dia.

Teruk juga Siti Salehah waktu mula-mula masuk asrama. Bukan apa, rindu betul dengan kampung. Mahu saja dia lari dari asrama. Tapi, mana dia berani. Jadi, dia buat apa yang selalu orang buat dalam situasi begini. Menangis tiap-tiap malam. Sikit satu blok asrama perempuan kena serang histeria. Semua sangka pontianak yang menangis. Kasihan Siti Salehah. Demi mengejar impian, dia terpaksa menanggung semua ini. Bersarak serasa hilang, bercerai serasa mati.

Mahu dua minggu juga jadi macam ni. Sampai muncullah Magdelinna dalam hidup Siti Salehah. Anak gadis kacukan Cina dan India yang berjiwa tukul. Berkasut Converse putih, berstoking merah hitam, skirt singkat, mata sentiasa bercelak, double side ponytails, beg merah penuh patches kugiran punk luar dan dalam negara, dan memiliki suara merdu seperti Anita Sarawak. Dialah yang memperkenalkan muzik punk kepada Siti Salehah―hanya kerana dia sudah muak dengar tangisan Siti Salehah tiap malam.

Macam bercinta, ada suka ada duka. Awalnya Siti Salehah menolak keras lagu-lagu macam ni. Membingitkan telinga. Marah juga Siti Salehah dengan Magdelinna. Tapi marah ayu-ayu begitu. Dia mana suka lagu keras. Dia suka lagu lembut, bunga-bunga―cinta ku bukan di atas kertas, cinta ku getaran yang sama, ah, yang begitu. Nah, marahlah Magdelinna. Kata Magdelinna, gara-gara Siti Salehah dengar lagu begitulah orang sangka blok asrama perempuan ada pontianak. Jadi, demi kesenangan semua orang, Siti Salehah patut dengar lagu keras. Supaya hati dia pun keras. Supaya Siti Salehah berjiwa tukul!

Demi menguatkan diri sendiri, Siti Salehah memaksa telinganya untuk dengar lagu punk. Dan lama kelamaan, dia berjaya. Sampai diraikan oleh penghuni dorm yang lain. Ada la juga kenduri ala kadar―Maggi, biskut dan kopi.

Semenjak dari hari itu, Siti Salehah telah berjaya menjadi wanita tukul. Dia dan Magdelinna jadi sahabat baik. Dua sahabat yang kalau dilihat sangat kontra dari segi penampilan. Tapi, jangan dinilai seseorang melalui penampilan, bro! Siti Salehah berjiwa tukul. Sampai tiada seorang perempuan mahupun lelaki berani mengusik dia. Walaupun pemakaian dia sentiasa Muslimah dan gaya percakapannya sangat ayu, namun, tiada siapa pun yang akan lupa peristiwa dewan makan 2007. Ya, sampai hari ini peristiwa itu menjadi bualan setiap pelajar di sekolah itu. Siti Salehah mengetuai demonstrasi memprotes tindakan pekerja dewan makan yang bersikap tidak adil dalam pembahagian roti pada waktu minum malam.

Begitulah kisah Siti Salelah, dia tahu ibu bapa dia marah kalau dia dengar lagu-lagu macam tu. Ya lah, nanti merosakkan akidah lah, dituduh puja syaitan lah, macam-macam. Gila. Tapi dia berjaya menyembunyikan kegiatannya melalui cara hidup Muslimah. Dia tahu sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Tapi, tupai tu sudah Siti Salehah pinjamkan kapal angkasa. Jadi, tidak akan jatuh ke tanah lagi.

Hebat Siti Salehah.

Jangan jadi macam kakak Siti Salehah, sudah tua bangka, tapi masih belum kahwin-kahwin, masuk dapur pun geli. Sudahlah begitu, peminat setia Ayda Jebat lagi. Sampai rambut pun dia celup bagi warna pelangi. Bak kata orang Brunei, membari gali.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!