Reomi

Namanya Reomi. Reomi perempuan yang biasa-biasa saja. Mungkin dalam seribu dari dataran laut manusia, dia bukanlah yang pertama, kedua, tiga belas mahupun ke dua puluh enam manusia yang akan kau lihat. Mungkin, dia sembilan terakhir orang yang kau sedar kehadirannya, walaupun kamu pernah duduk bersebelahan di meja makan waktu rehat.


Rambutnya krim coklat lurus paras bahu, rambut depannya pula selalu disikat ke belakang, lalu dikunci menggunakan klip. Matanya bundar, mukanya halus, ada sedikit tompok hitam bekas jerawat, menjadi bahan untuk dia terkedu bila dilihat.

Senyumnya juga biasa, seperti senyuman orang-orang lain, tiada istimewanya. Suaranya serak kecil, jarang bercakap. Bila dia bercakap pun, hanya benda-benda yang penting—sebab biasanya, ada beberapa jenis orang yang boleh bercakap bersahaja tanpa berfikir. Reomi pula sebaliknya, kau agak.

Reomi bukan seorang weirdo. Dia tidak mempunyai fetish, atau bawa benda-benda aneh pergi ke kelas. Weirdo hanya pengganti nama kepada "unik" dan pasti, itu membuatkan seseorang nampak enigmatik. Namun bukan Reomi.

Tapi, bila berjalan dengan dia, kau akan sentiasa rasa sesuatu kesuraman, sesuatu sihir yang perlahan-lahan menggelapkan awan jika kau mendekatinya, dan awan itu pula mengekori setiap langkah kamu, sesuatu yang pelik, aneh, melankoli… namun di sebaliknya akan timbul rasa suka. Sesekali kau akan rasa resah, namun pada waktu yang sama, kau selesa.

Rumit saya nak jelaskan di sini.

Sangat rumit.

Dan sebenarnya, jika dia wujud ataupun tidak, saya tetap akan menulis cerita tentangnya.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!