Wiski, Aku Nak Minum Lagi

Wiski tinggal sikit, dan aku nak minum lagi.

Cuba bayangkan, hari terakhir kematian aku adalah hari berlakunya ciuman pertama yang aku idamkan selama ini. Kerana mahu ciuman pertama itu menjadi memori yang tidak akan luput—bukan macam roti—aku memilih bangunan yang paling tinggi bersama pasangan; menunggu angin sejuk, nyaman, bertiup dari arah utara yang bunyinya seperti “Wau,” berdengung dari langit, di penyuara kuping yang kami kongsi bermain "Feels Like We're Only Going Backwards" lagu Tame Impala, sut hitam dengan sepasang sayap buatan sendiri.

Kebanyakan ciuman pertama dibazirkan dengan tragedi. Mereka hanya mengucur nama ke senarai neraka, tak berbaloi dengan sedapnya yang sekejap. Aku cuma nak ciuman pertama aku macam mimpi mak Ganesha—gajah, dan "poof" jadi. Tak kisah dengan struktur kepalanya yang pelik kerana satu hari dia bakal membunuh musuhku.

Source: Tumblr
Pada satu hari selepas kematian, aku cuba goyang-goyangkan tubuhku, sesekali menampar dahi. Kebetulan pasanganku juga buat sedemikian terhadap tubuhnya, cara kami sama, dan aku semakin yakin kami agak serasi dalam perhubungan. Lepas ini, selain daripada habitat dunia yang didoakan pupus—tak pernah mustajab, kami akan ada cerita untuk dikongsikan kepada anak-anak, yang sebelum kami mati, kami hanyalah sepasang malaikat yang sedang bercium.

Wiski tinggal sikit, aku nak minum lagi.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!