Revolusi Minda Antarabangsa

Setiap hari dia akan berdiri di tempat yang sama. Bentang kain putih yang sudah pudar, letak buku-buku usang dan gitar kapuk yang kurang tali di atas lantai. Dan tidak pernah sekalipun ada orang beli buku dia. Dan gitar pun dia langsung tidak pernah main.

Setiap hari dia akan bercakap tentang benda baru.

Dia muncul minggu lalu, bercakap pasal kemusnahan alam yang menyebabkan binatang di hutan memberontak. Dia kata makanan di hutan sudah semakin kurang. Dan semua itu disebabkan oleh kelemahan pentadbiran menteri alam sekitar.

Ramai yang sangka dia sedang mengkritik kerajaan secara sarkastik. Tapi, lama-kelamaan hujah yang dia lontarkan semakin ke laut. Siapa yang mahu percaya bila dia cakap tentang monyet di hutan sedang bertungkus lumus menyiapkan kapal perang untuk menyerang manusia.

Source: Tumblr

Esoknya, ketika dia tengah hangat bercakap pasal kelebihan jagung berbanding ubi kentang, dia ditahan pihak berkuasa. Tapi, beberapa jam kemudian, dia muncul balik dan terus bercakap tentang hak kebebasan anak yatim.

Lama kelamaan, orang sudah tidak mengendahkan dia. Ada yang kata dia orang seni yang gagal, ada juga yang kata dia seorang genius yang bermasalah, ada juga yang kata dia perisik yang menyamar. Bagi saya, dia orang gila.

Dia tidak muncul sejak dua minggu lalu. Terakhir, dia bercakap tentang pengalamannya dirasuk jin berusia 5000 tahun.

Keadaan menjadi aman seketika. Tiada lagi orang gila yang bercakap hal karut-marut. Dinding tempat dia selalu berdiri akhirnya menjadi kanvas budak-budak seni visual jalanan.

Esoknya, orang lain ambil tempat dia. Tapi dia tidak bercakap langsung. Dia hanya terpancang seperti kayu. Dari pagi sampai petang, lepas jam lima tepat, dia terus berjalan pergi macam biasa.

Bagi saya, orang itu juga gila.

Dia juga buat kerja yang sama seminggu.

Kemudian tiba-tiba, dia hilang.

Dua minggu kemudian, mereka berdua muncul bersama-sama. Berdiri di tempat yang sama. Bentang kain putih yang sudah pudar, letak buku-buku usang dan gitar kapuk yang sudah cukup tali di atas lantai. Dan kali ini, dia main gitar sambil bercakap pasal makanan artifisial.

Dan rakan barunya, tetap istiqamah berdiri macam pokok kayu.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!