Echo

Source: Tumblr

Bunyi-bunyi gema itu mengingatkan hukuman Hera kepada aku, oh Echo yang menjengkelkan, kau sudah bisu, menumpang pada bunyi yang berulang, macam parasit, berulang-lang-lang-lang, sayang,

kau dan Echo adalah satu-- bila aku teriak atas gunung, namamu melayang dari satu gunung ke satu lagi, ke satu lagi. Begitu dahsyat kecantikan yang berulang-ulang, dan sayang, ia tak abadi. Echo tak abadi dan apatah lagi engkau, apatah lagi hidup, atau kukuh, atau sempurna.

Abadi adalah fantasi yang paling laku di dunia, dan perasaan yang kita genggam ini hanyalah abu, antara benda paling rapuh, kononnya sebelum hati.

Esok lusa mungkin kau dah tak nak naik bas lagi, esok lusa selera kau dah jadi barat, kampung kau tolak mentah-mentah, biskut kau nak ada keju, baju kau tak nak nampak miskin, kau nak heels berbanding sneakers, atau selipar Jepun.

Kau akan rasa bangang, dan letih melihat muka aku berulang-ulang, dan esok lusa kau dah tak rasa abadi itu macam kosmetik yang jarang-jarang ada, tapi boleh beli.

Supaya aku bukan kompromi yang kau sesalkan, ini tulisan-tulisanku, mungkin adalah dua tiga puluh sajak atau cerita, tulisan-tulisan itu echo yang menyebut namamu dalam metafora yang tiadanya, dalam satu per tiga, sikit-sikit aku imbuh agar--

selain daripada abadi yang tak akan ada, kau tetap semua, walaupun bukan semuanya.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!