The Old Man's Lake

“Menjadi lelaki adalah sesuatu kepayahan,” katanya setelah menghabiskan satu tin bir. “Menjadi wanita adalah sesuatu keindahan.” katanya lagi selepas kembali duduk daripada muntah di singki.

Sara, isteri kepada Gabriel hanya melihat gelagat hodoh suaminya dari pintu. Dia baru saja pulang dari kerja. Sudahlah di pejabat, dia dianggap tahi oleh bos, rakan sekerjanya pula sering menuduh dia bekerja sebagai penari pola pada waktu malam, dan encik pengawal yang tidak henti-henti mengurat Sara. Hanya untuk pulang ke rumah dan mendapati—kehidupan dia sangat teruk.

Suaminya sudah sebulan tidak bekerja. Sebab, bos di syarikat lamanya ditangkap kerana mencuri duit rakyat berjuta-juta dan syarikat ditutup serta-merta. Dan tiada satu pun syarikat yang mahu mengambil pekerja yang pernah bekerja dengan pencuri duit rakyat. Menjadikan kehidupan mereka suami isteri, penuh dengan ujian dan dugaan.

Nasib baik, mereka masih belum lagi ada anak. Cuba kalau ada sudah anak, mungkin masalah itu akan muncul berganda-ganda.

Kau tidak perlu kasihan sangat dengan mereka. Ini adalah lumrah kehidupan. Kau hanya perlu mengasihani diri kau. Dahulukan diri kau daripada orang lain. Dengan itu, secara tidak semena-mena, kau akan berjaya mencipta perisai makian yang kau akan pakai di luar rumah. Dan kalau sudah balik ke rumah, perisai itu kau akan simpan di luar pintu untuk kau pakai besok hari.

“Oh, sudah sampai kau Sara? Masakkan saya. Saya lapar,” Gabriel terus berjalan terhuyung-hayang ke arah Sara, cuba mengucup dahinya. Tapi, Sara tepis.

“Saya penat. Kita pesan pizza saja,” jawab Sara.

Bukan dia tidak mahu dicium oleh Gabriel, dia sayang suaminya. Tidak sampai hati untuk dia berterus-terang bahawa suaminya sudah mabuk dan kesan muntahnya masih melekat pada baju. Lagipun, orang mabuk ini berbau busuk.


Dia baringkan suaminya di atas sofa dan duduk di sebelah. Gabriel terus tertidur. Dan Sara hanya mampu mengeluh pendek.

“Menjadi wanita adalah sesuatu kepayahan,” katanya ketika membuka kemeja pejabat sehingga yang tinggal hanyalah bra.

Dia perhatikan suaminya yang sedang tidur dengan nyenyak seperti seorang bayi. Lena tanpa ada apa-apa masalah. “Menjadi lelaki adalah sesuatu keindahan,” katanya lagi selepas membuka skirt sehingga yang tinggal hanyalah seluar dalam.

Dia sudah terlalu penat untuk menghubungi pizza ekspres. Dia terus berbaring di sebelah. Akhirnya, dia terlena.

Kemudian dia bermimpi, di dalam mimpi itu ada seorang tua yang sedang meminum air dari dalam sebuah tasik berwarna merah. Orang tua itu ketawa ketika melihat Sara yang hanya memakai bra dan seluar dalam.

“Oh, ini mimpi saya atau mimpi kamu?” dia tanya. Sara tidak faham.

Orang tua itu terus diam dan menawarkan air yang dia sauk dari dalam tasik kepada Sara.
Sara merenung orang tua dengan penuh persoalan.

“Minum,” katanya.
“Kau akan jadi lebih tenang selepas ini.” sambungnya lagi.

Tanpa berkata apa-apa, Sara terus mengambil bekas itu dan meminumnya.

“Anak muda, kalau apa yang kau mahukan itu benar, maka air di dalam bekas itu akan habis tidak lama lagi. Tapi jika sebaliknya, maka air itu akan bertukar menjadi lumpur yang dipenuhi dengan ulat dan cacing. Dan——,”

“Ulat dan cacing?” sampuk Sara.
“Ya. Ulat dan cacing. Sudah, sambung minum.”

Tanpa mempersoalkan apa-apa lagi, Sara terus meminum air dari bekas tersebut sehingga habis. Dan tidak lama kemudian, dia merasakan kepalanya berdenyut-denyut, matanya semakin kabur dan badannya menjadi lemah. Akhirnya dia tersungkur ke atas tanah. Orang tua itu ketawa terbahak-bahak dan yang terakhir Sara ingat ialah dia sedang ketawa melihat gelagat orang tua itu.

Gabriel tersedar dan mendapati hari sudah pun siang. Dengan tergesa-gesa, dia pantas bersiap untuk ke pejabat. Sara masih lagi tidur dan Gabriel hanya sempat mengucapkan selamat jalan kepada isterinya. Pintu yang ditutup dengan kuat membuatkan Sara terbangun. Hanya untuk mendapati dia sedang kelaparan dan pening akibat meminum bir yang banyak kelmarin.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!