Little Rocky

Ayah enggan benarkan saya menyertai pasukan bola sepak. Ibu pula setuju. Alasan ayah—fizikal saya amat lemah. Jadi, dia belikan saya dumbbell untuk berlatih.

Pada awalnya, ayah belikan saya satu set dumbbell kanak-kanak 2.5kg berwarna kuning. Dan ayah kata, saya kena berlatih dengan dumbbell ini selama sebulan. Selepas itu, dia akan belikan saya dumbbell baru yang lebih berat. Jadi, tiap pagi sebelum ke sekolah, ayah akan bawa saya joging dan bersenam.

Ibu sebenarnya tidak setuju dengan tindakan ayah. Dia kata saya masih budak, dan seorang budak tidak patut bersenam berat seperti ini. Namun, alasan ayah lagi hebat. Dia kata, kalau saya tidak bersedia dari awal, saya akan mati pada bila-bila masa. Dan kalau saya sudah mula menunjukkan perubahan, baru dia akan benarkan saya menyertai pasukan bola sepak.


Saya sebagai anak hanya menuruti kata-kata ayah. Sebab setiap kali joging, ayah akan pasang lagu "Eye of the Tiger" dan kami akan menjadi lebih bersemangat. Ayah juga selalu menceritakan pasal heronya—kisah seorang lelaki berwajah jambu yang menjadi juara dunia tinju. Kisah itu memotivasikan saya untuk bangun awal setiap hari, biarpun bukan hari sekolah.

Saya juga sudah semakin lupa cita-cita saya untuk menyertai pasukan bola sepak. Saya sudah menanam cita-cita untuk menjadi tegap. Walaupun ibu sering bertanya tentangnya, saya hanya angguk dan senyum. Saya tahu ibu sebenarnya sedih kerana setiap kali dia bawa saya ke pasar raya, saya tidak lagi berminat dengan mainan. Malah, saya selalu minta ibu belikan saya dumbbell baru. Dan setiap kali itu, ibu akan bersedih.

Hanya kerana itu, dia dan ayah selalu bergaduh. Ibu kata, ayah tidak patut buat saya macam ni. Saya patut membesar seperti kanak-kanak lain. Saya kononnya alat eksperimen ayah selepas menonton filem Rocky berkali-kali. Ayah hanya duduk di meja makan ketika ibu mengugut untuk meminta cerai jika dia terus membuat saya seperti ini.

Saya tidak mahu ibu bapa saya bercerai disebabkan saya. Saya meluru ke arah ibu dan memeluknya. Ibu hanya menangis teresak-esak dan sedikit kesakitan kerana pelukan saya yang sangat kuat.

Ayah pula terus menangis dan meminta maaf berkali-kali.

Ayah kata kepada saya yang latihan sudah tamat mulai hari ini. Esok saya akan dibelikan bola dan ayah akan ajar saya bermain bola. Namun, saya sudah tidak mahu bermain bola. Saya rayu kepada ibu untuk biarkan terus saya berlatih. Saya mahu menjadi seperti hero yang ayah selalu ceritakan.

Saya juga rayu agar mereka berdua berhenti bergaduh dan biarkan saya dapat apa yang saya mahu.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!