Hari Untuk Holi

Holi sebenarnya benci dengan ayah semenjak dari kecil lagi. Jika duduk bersebelahan, seperti ada dua jembalang yang nampak hidup, tapi keras dan sunyi. Holi mungkin selamanya tak akan membazirkan suara untuk perbualan tipikal bodoh antara anak dan bapa.

Holi benci dengan bau bir dan juga orang mabuk, semenjak ayahnya menampar dan menuang bir ke mulut ibu secara paksa. Ibu pada waktu itu berkata; itu adalah salah satu permainan orang tua. Holi nafi, BDSM yang selalu dia tengok tak pernah sampai mata berbenjol biru atau ada bibir pecah, atau lendir darah mengalir perlahan dari mulut, dan itu juga bukan fetish. Holi hafal. Holi cukup hafal kategori itu semenjak berusia sepuluh tahun.

Cuma petang ini Holi terpaksa. Hampir seluruh keluarga bahkan nenek sendiri menyuruhnya menemankan ayah membeli bir di bandar sempena hari Natal yang akan tiba tak lama lagi, sambil membisik, "Perkara lama usah dikenang," walaupun mereka tahu si bangsat itu tidak pernah berubah. Holi membuat muka, dan berharap semua keluarga tahu yang dia sedang menyumpah dalam hati.

Source

"Fun fact… kau tahu tak, aku namakan kau sempena raungan mak engkau? Holy shit. It's so good!" kata ayahnya berdekah ketawa sambil menolak masuk pintu kedai arak. Holi tahu ayahnya mabuk, dia hanya akan berhenti meneguk arak apabila dia sedang tidur. Holi membiarkan ayahnya masuk dan menunggu di luar.

Loceng pintu berbunyi. Keluar saja dari pintu kedai, sambil mendepakan kedua tangan dan memegang bungkusan kertas, mata ayah membulat besar ketakutan. Dia seolah-olah memberi isyarat seperti ada benda yang berlaku. Holi hanya melihatnya sepintas lalu dan bangun dari duduk. Sejurus itu orang ramai berteriak histeria, ada seorang sedang mengacu pistol di belakang kepala ayah. Badannya sebaya dengan Holi. Dia menelengkan kepala melihat siapa pemegang pistol itu.

"Adma?" Holi kenal lelaki itu. Bukan setakat kenal, malah mereka tinggal hanya bersebelahan rumah. "Holi, ayah engkau kan?" Holi mengangguk. Adma senyum. Senyumnya membuat maksud; kau patut bahagia dengan apa yang aku buat ini.

Ya, Holi sepatutnya bahagia dengan apa yang Adma buat itu. Adma memang sudah lama tahu kebencian Holi kepada ayahnya, begitu juga dengan jiran-jiran yang lain, yang selalu suka menjaga tepi kain jiran sebelah.

Adma mula menyeluk saku ayah, mengambil kunci kereta lalu menghumban ke arah Holi. "Engkau balik dulu. Aku nak huru-harakan dunia kejap." kata Adma.

Ya, Holi sepatutnya bahagia dengan kejadian itu. Seperti ada orang tua yang berperut boroi, berjanggut dan berkumis lebat putih, dan memakai jubah merah berteriak "Ho, ho, ho!" yang telah makbulkan permintaannya semenjak dia kecil lagi—sewaktu dia masih budak-budak baik, sewaktu dia masih kanak-kanak yang mempercayai pari-pari gigi, sewaktu dia percaya tuhan itu wujud.

Namun Holi datang balik ke kedai arak selepas sepuluh minit kejadian itu berlaku. Orang ramai berpusu-pusu berebut mencari spot terbaik untuk melihat drama yang sedang berlaku, sementara pihak polis cuba menenangkan Adma. Holi cuba membolos dengan melanggar dinding-dinding laut manusia, lalu berhadapan dalam sekitar dua puluh kaki dari jarak Adma. Adma masih mengacukan pistol di belakang kepala ayah.

Holi kali ini tak datang dengan tangan kosong. Dia datang membawa ayah Adma dan juga pistol semi-atutomatik Rusia TT-03. Cuma bezanya sekarang ialah Holi mengacukan muncung pistol itu betul-betul di dalam mulut ayah Adma. Holi senyum dan memandang mata Adma, "Kau sepatutnya bahagia dengan apa yang aku buat ni."

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!