Formaliti ialah Tahi

Saya adalah pembenci formaliti. Tidaklah sekeras sehingga mahu buat demo dan menghasut para menteri untuk hentikan sebarang majlis formal. Itu, mereka punya hal. Tapi, kalau dalam bab-bab kecil yang boleh bagi impak gergasi—ini yang saya selalu perjuangkan dan pernah bermati-matian perjuangkan.

Dahulu, sejak bangku sekolah, saya sudah puas dengan majlis-majlis formal di dewan ataupun bilik darjah yang dijadikan dewan ataupun padang sekolah yang dijadikan dewan sementara. Orang-orang atasan sekolah mesti menjemput pegawai itu, pegawai ini, datuk itu, datuk ini—atas dasar formaliti itu penting untuk menjaga nama baik sekolah tersebut. Tapi, apa yang sering berlaku ialah, orang-orang tua yang mengipas orang-orang berpengaruh. Itu saja. Mungkin orang berpengaruh itu pun sedang tertanya-tanya dan menyesal kenapa dia terima pelawaan ini. Untuk imej barangkali. Ah, mainan politik.

Kemudian, lepas saya sudah banyak menjelajah ke sana sini, sakit hati berkali-kali, sehingga saya menjadi sedikit sedar; saya rasakan formaliti ialah tahi. Prosedur sebegitu sangat membebankan. Macamana kalau datuk tidak dapat hadir? Kena cari datuk lain. Kalau tiada datuk yang mahu datang? Majlis tidak dapat berjalan? Kalau datuk lambat sampai, majlis pun lambat mula? Macamana kalau datuk lupa? Majlis macamana? Ah, sekali lagi, politik.

Source

Bagi saya, kalau kau mahu buat macam tu, buatlah. Tidak kisah, saya tetap akan datang kalau diundang, lagi-lagi kalau ada makanan. Dan, bagi saya, itulah pengorbanan yang saya perlu lakukan. Senang saja, masa datuk berucap, saya keluar dewan. Senang cerita. Masa makan-makan, saya paling depan. Kan? Dan, penganjur akan gembira dengan kedatangan saya, dan saya akan gembira kerana perut kenyang.

Macam orang bijak yang saya kenal pernah cakap dan balik-balik ulang, “...tiap-tiap kita ni, Ji (dia panggil saya Ji, pendek untuk Haji), ada kepentingan masing-masing,” Pedas kan?

“Tepat dan melekat,” kata Lepat.

Dalam konteks saya, menghadiri majlis seperti contoh di atas, saya datang atau tidak, tidaklah akan mempengaruhi majlis. Lainlah kalau saya ni seniman agung yang sebaris dengan Rumi. Tapi, saya ni cuma pelahap majlis eksklusif sahaja. Yalah, majlis besar, tetamu hebat-hebat, mesti makanan pun sedap-sedap kan? Kemudian, dari sudut penganjur, kehadiran orang terhormat adalah untuk menjadikan majlis itu nampak lebih gah dan ekstravaganza. Jika nama datuk popular tertera di jemputan, maka ia akan menarik lebih ramai orang untuk hadir. Yang pada masa yang sama, juga ada kepentingan lain mereka sendiri. Macam saya.

Malah, dalam bentuk tajaan juga akan mempengaruhi banyak benda. Orang-orang penting akan ringan tangan menghulurkan sumbangan. Dan hal ini akan membantu dalam banyak perkara; sewa dewan, cenderamata, katering, dan duit saku pengampu.

Tapi, bagi saya, itulah tahi.

Sebab saya pernah menjadi penganjur untuk satu program kesenian di tempat saya. Disuruh sebenarnya, awalnya orang lain yang menganjur. Tapi disebabkan dia hanya duduk di kedai makan sambil bermain fesbuk, maka saya dan seorang rakan yang berhempas pulas menguruskan.

Dipendekkan cerita, kami ditipu oleh ramai pihak dan akhirnya tempat yang kami pilih ialah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS). Sehingga hari ini, saya masih lagi terhutang budi kepada pihak DBPCS kerana membenarkan saya menempa nama di arena seni dan sastera Sabah. Agak terharu sekali. Hahaha.

Apa yang pelik dan agak mengagumkan, ketika kami datang mengusulkan program kami, kami bagi tahu pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang akan ada datuk yang akan datang merasmikan majlis, pihak DBP bersetuju untuk membantu dari semua benda. Kata mereka, mereka lagi suka program sebegini dianjurkan.

Malang tidak berbau, bila pihak datuk memaklumkan yang dia tidak akan hadir—dia terlalu cool untuk pijak DBP. Dan kami bercadang agar pihak DBP dapat menyediakan wakil untuk merasmikan program. Namun, pihak DBP dengan tenang menolak. Semua itu tidak perlu bagi mereka. Ini adalah program orang muda, biar orang muda yang uruskan. Bila saya mendengar makluman itu, saya gembira. Sebab saya masih lagi dengan prinsip saya, formaliti ialah tahi.

Dan walaupun program itu tidak ekstravaganza sangat, tapi, yang saya dapat belajar daripada melaksanakan program itu ialah--

formaliti ialah tahi.

Kesanggupan dan pengorbanan sahabat saya untuk sama-sama bergerak sangat saya hargai sehingga sekarang. Moga dia kaya dan sihat di Australia sana. Kami yang ketika itu hampir menyerah sehingga saya sudah sanggup untuk batalkan saja program.

Namun, kesanggupan dan sikap keibuan pihak DBPCS yang menerima kami sangat bernilai. Walaupun sehingga sekarang, saya masih lagi ada masalah dengan DBP, tapi, DBPCS saya sayang amat-amat. Bagi kami, anak muda dan DBPCS, semua sengketa ideologi baru dan lama itu dibuang jauh-jauh. Kami mahukan tempat untuk menganjurkan program, dan DBPCS mahukan kertas aktiviti tahunan mereka tidak kosong.

Dan bagi saya, dua-dua pihak menang. Kami mengaku kami tiada duit, dan mereka kata; tidak mengapa, kamu bagi tahu saja apa yang kamu perlukan. Dan, mungkin kalau mereka tengok orang muda yang menganjurkan majlis sebegitu, mereka juga akan mentahikan formaliti.

Maaf, kerana kerap menyebut tahi. Jadi, mula dari hari ini, kau patut tahu yang saya benci formaliti. Sebab dia tahi. Maaf.

Sebab saya lagi suka hadir majlis yang tiada kepentingan kotor. Majlis kecil-kecil yang bagi impak besar kepada satu atau dua orang bagi saya, lebih bermakna. Bedah buku di kedai kopi, baca puisi di tepi jalan, semua itu tidak perlukan dana yang beribu-ribu--kehadiran datuk itu ini, semua yang hadir ialah mereka yang ikhlas hadir. Dan keikhlasan ialah suatu bentuk kepentingan yang kau tidak boleh beli. Sebesar mana pun majlis kau, seramai mana pun orang yang hadir, kalau tiada yang ikhlas, maka majlis kau hanya akan jadi sia-sia… macam tahi.

Maaf.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!