Dingin Damai: Payung Teduh Live in Kuching '16

Kalau mahu cakap nama Payung Teduh di Malaysia, mungkin sekerat saja yang tau. Adapun, yang dengar-dengar dari orang. Kuantiti peminat mereka masih lagi sikit, berbanding band-band Indonesia yang lain. Tapi, peminat yang berkualiti itu cukup untuk menempatkan nama Payung Teduh sangat istimewa di hati para peminat.

Buktinya, waktu kedatangan Payung Teduh ke Kuching hari minggu lalu (4 Disember '16) di Emillie Cafe dan Pasa Tapok, tidak ramai betul yang datang. Ada juga yang datang sebab dia bosan di rumah, skrol Facebook, nampak ada acara Payung Teduh, datang. Tanpa tau apa-apa mengenai Payung Teduh, dan saya harap orang tu jadi peminat lepas ini.

Payung Teduh

Ya. Malam itu yang datang rata-rata peminat setia. Sebab walaupun acara bermula lewat disebabkan masalah teknikal, kami semua menunggu dengan sabar, di atas sini melayang-layang. Walaupun ada suara-suara sumbang yang kecil hati sebab lambat, tapi suara dia tu masih lagi tenggelam di bawah payung setia yang teduh. Agak lucu juga sebenarnya—dalam jadual cakap jam 7 malam, tapi mula jam 9 malam. Saya faham, bukan senang mahu buat acara macam ni. Lagipun, saya yang datang seawal jam 6 lebih, nampak sendiri macam mana kesungguhan krew buat kerja. Penat.


Nasib artis yang buat persembahan pun faham keadaan. Holly cuma bawa dua buah lagu sahaja. Satu lagu solo, dan satu diiringi oleh rakannya Pai, si dreadlock yang lucu-lucu. Ada penonton yang hairan kenapa Holly cuma bawa dua buah lagu saja. Tapi, sebelum acara bermula, saya ada dengar yang Holly ada cakap, dia lapar.

Holly

Kemudian, Rawi. Ah, Rawi. Sekarang saya sudah meminati mereka. Lagu-lagu yang dorang bawa sangat mempersonakan. Kalau malam tu tiada Payung Teduh, cukuplah Rawi. Tiga buah lagu yang Rawi bawakan sudah cukup untuk buat saya menjadi peminat. Sebab kenapa? Muzik dorang bukan macam kebanyakan muzik di Malaysia. Sampaikan abang kamera iktiraf dorang sebagai Radiohead Malaysia. Bagi saya, itu sudah cukup untuk puaskan hati saya. Lagipun, saya ada bagi harapan dengan dorang yang saya akan cuba bawa dorang masuk ke Sabah. Sebab saya rasa, para penggemar muzik lokal, harus tahu kewujudan dorang.

Dan Payung Teduh... bagi saya, persembahan dorang memang sangat memukau. Sampai semua yang datang pun ikut sama menyanyi. Termasuk saya sendiri. Tapi, mungkin hype itu sudah kurang sikit. Macam mana juga, kawan baik saya ada iras seperti Is, baik dari segi rupa, rambut dan suara. Jadi mungkin sebab itu, saya sekadar puas hati tengok dorang di depan mata, walaupun ikut sama menyanyi lagu-lagu dorang.

Nasib lah juga dorang senyum sama saya. Kalau nda, aish. Hahaha. Macam bukan manusia sudah saya tengok dorang awal-awal.

Alejandro (kajon) dan Comi (bass)

Dan bila Is cakap, “Sabar itu manusiawi,” menyedarkan saya yang dorang ni pun manusia biasa saja. Bezanya, dorang di atas pentas dan saya di bawah pentas. Manusiawi dorang itu boleh dilihat apabila Ivan (ukulele) dengan steady hisap rokok Sampoerna dan kemesraan mereka kepada para penonton—peramah yang manis.

Is juga kata yang mereka suka di sini, katanya kalau tidak dijemput ke Kuching, mana mungkin mereka bertandang ke Malaysia. Ya, Kuala Lumpur, dengar tu, kalau bukan Kuching yang jemput, mana dorang mahu ke sana.

Is juga berpuas hati sampai ke Kuching—budaya baru, pemandangan baru. Ternyata, mengembara ke tempat lain akan membawa perasaan baru, biarpun kepada siapa saja. Termasuklah jiwa romantik Payung Teduh yang membawa mesej dingin damai.



Tapi saya suka masa Is kata, “Saya ngak mau bikin lagu duka, saya hanya mahu bikin lagu bahagia, bikin motivasi,” Kata-kata dia ni buat saya teringat kepada apa yang ZF Zamir katakan di wall Facebooknya—Payung Teduh punya cara sendiri untuk melawan. Melawan dengan muzik mereka yang counter culture muzik popular. Dan saya setuju dengan kata-kata itu.

Sebab kita dapat tengok banyak peminat di luar sana yang dengar lagu entah apa entah di corong radio—temanya sama, muziknya juga diplagiat dari budaya luar. Wujudnya Payung Teduh membawa bahang muzik yang berbeza. Lagi-lagi kalau kau peminat sastera, maka Payung Teduh ialah satu band yang patut kau dengar untuk dijadikan sebagai ilham.


Kalau dilihat sejarah muzik mereka, semuanya berbeza-beza. Ada yang minat hardcore, ada yang minat punk, tapi, bila mereka bergabung, hasilnya ialah genre senandung. Walaupun Is sendiri ada kata dalam satu wawancara yang genre mereka ialah pop. Tapi, bila kau dengar lagu Rahasia, Berdua saja dan Biarkan, bukanlah bersifat pop. Ah, itu biar kamu saja menilai.

Yang penting, mereka sudah membuka banyak hati di luar sana melalui muzik mereka yang dingin dan damai melalui lirik-lirik yang sangat puitis.

Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk menyaksikan Payung Teduh secara live, dan saya harap janji mereka dari tahun-tahun lalu untuk melahirkan album baru akan tertunai tahun depan.

Terima kasih Little Big Events, Selamat Hepi Times dan Aweng!

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!