Mimpi Basah? Apa Yang Mereka Pernah Kata

Ada orang pernah kata, mimpi basah hanya akan berlaku sekali sahaja seumur hidup. Dulu, saya percaya dengan dia. Selepas saya bermimpi basah buat kali pertama, saya sedih. Kerana saya rindu kepada wanita yang saya mimpi. Walaupun saya gagal mengecam siapa dia, apatah lagi mengingat wajahnya. Namun, apa yang saya rasakan pada waktu itu, tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Dan mungkin kerana itu, membuatkan kita mendekati onani. Ya?

Ada juga kawan kata, kalau mimpi basah, kita sebenarnya dirogol oleh jin. Saya gagal memberikan sebarang komen. Sebab saya tahu dia belum lagi bermimpi basah. Kalau dia tahu betapa asyiknya pengalaman tersebut, mesti dia tidak akan salahkan jin. Rasanya, kalau apa yang dia cakap itu benar, jin ni tidaklah sehodoh seperti yang diwar-warkan. Sebab ‘jin’ yang memberikan saya pengalaman erotika buat pertama kali, sangatlah mengiurkan. Tubuh badannya langsing, tangannya yang halus dan tidak terkata keindahannya. Jikalau begitulah jin, maka jin tidaklah teruk sangat. Untuk mengetahui lebih mengenai hal ini, saya akan ceritakan secara panjang lebar dalam artikel saya yang kedua.

Ada juga orang pernah kata, mimpi basah adalah tanda kematangan dan selangkah ke alam dewasa. Kerana kita sudah mengalami sesuatu yang tidak dialami oleh budak kecil. Pada waktu ini juga, menurut orang itu, bulu-bulu akan tumbuh di tempat-tempat yang tidak kita sangkakan. Waktu saya memproses informasinya, saya merasakan bahawa, melangkah ke alam dewasa hanya mendekatkan kita menjadi monyet. Bulu sana, bulu sini. Pernah juga saya tanya kepada dia, perempuan bagaimana, dia cuma ketawa, dan kata, mereka juga tumbuh bulu macam kita. Dan saya tanya jika perempuan juga bermimpi basah, dia cuma kata, perempuan tidak mimpi basah, mereka ‘berdarah’. Saya terkejut. Dan kasihan kepada adik saya. Kerana nanti, dia akan mimpi darah. Rupanya, saya silap juga pada waktu itu. Kalau tidak, saya tidak akan ditampar oleh perempuan di kelas saya semasa Tahun 6, masa itu saya tuduh dia cirit-birit sebab dia cakap dia pakai pampers.

Tapi, saya cuma pegang apa yang mama saya pernah katakan. Sewaktu saya sudah hampir memasuki sekolah menengah, mama pernah tanya kalau saya sudah pernah mimpi. Saya tanya balik, mimpi apa. Dia jawab, mimpi yang keluar air pekat. Saya rasa sedikit terkilan, saya kata saya tidak lagi terkencing semasa tidur. Dia ketawa. Dia kata bukan kencing, tapi air itu melekit. Saya kata belum. Dia kata nanti kalau sudah, beritahu. Tapi, seingat saya, saya tidak beritahu mama. Saya cuma ingat pesannya; kalau sudah mimpi, saya sudah akil baligh. Akil baligh ni kita tidak boleh sudah dipanggil budak. Maka lepas ni, saya kena rajin mempraktikkan agama. Katanya. 

Rasanya, setiap pengalaman saya mengenai mimpi basah ini banyak yang kelakar berbanding ilmiah. Sehingga secara tidak sedar, tiap kali seseorang menyebut ‘mimpi basah’ saya akan terus geli hati dan bernafsu. Hanya kerana ia berunsur seksual. Bagaimanalah nasibnya jika mama tidak dedahkan maklumat mengenai mimpi basah? Kepada siapa saya hendak merujuk? Adakah saya akan menjadi panik apabila ada cecair putih pekat di seluar pada waktu saya bangun dari tidur? Atau, jika yang muncul di dalam mimpi itu, sama jantina, adakah saya akan menjadi gay? 

Sudah tentu banyak di luar sana yang mempunyai pengalaman berbeza mengenai pendedahan mimpi basah, kerana kita di Malaysia tiada pendidikan seks secara formal. Dan rasanya perbincangan mengenai hal ini masih dianggap taboo oleh kebanyakan masyarakat. 

Jika kita mahu menuding jari kepada pihak tertentu, maka siapa yang layak? Rasanya, melalui kaedah seperti yang saya madahkan di atas, masih belum cukup untuk mendidik masyarakat kita tentang hal ini. 

Hanya kerana, bila berbicara mengenai mimpi basah, semua akan mengaitkan dengan hal-hal seksual. Dan itu sebenarnya salah. 

Atau, adakah masyarakat kita yang dipandang tinggi nilai kesopanan dan kesusilaan oleh masyarakat Barat, sebenarnya amat tinggi nafsu syahwat? Sehingga bila disebut sahaja ‘mimpi basah’, sudah cukup untuk mencanak-canakkan nafsu seseorang. Jikalau begitu, sudah tentu kita tidak boleh salahkan pengaruh daripada tamadun luar yang banyak memberi pedagogis dan andragogis kepada masyarakat kita mengenai hal-hal taboo seperti ini. Bukankah begitu? 

Dan sudah tentu, jika masyarakat kita diberi pendedahan yang sewajarnya, hal ini tidak akan mewujudkan mitos-mitos merepek kepada masyarakat. Jin tidak akan dituduh merogol wanita, lelaki tidak akan dituduh pervert kerana sering bermimpi basah dan kita juga tidak akan malu untuk bertanya kepada mereka yang lebih tahu. 

Apa yang saya harapkan, perbincangan preseptorial mengenai hal seperti ini sepatutnya dilakukan dengan lebih kerap dan terbuka, bukan hanya terhad di kalangan golongan intelektual sahaja. Malahan pendidikan seks di negara kita masih lagi belum diperkenalkan di sekolah. Adakah kerajaan memandang enteng tentang masalah ini? Lantas lepaskan tangan dan biar hal ini menjadi tanggungjawab ibu bapa dan ahli agama? 








No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!