loQue, Tulisan dan Cakar Ayamnya

Hari itu kami berjumpa dengan monoloQue selepas tamatnya persembahannya di NegaRAKU Tour: Sabah di 999 Bar. Mungkin, kami agak bernasib baik pada hari itu kerana loQue sudi ditemubual walaupun jadualnya agak sibuk; berjumpa dengan rakan-rakan pemusik serta bermesra dengan peminat.


Kita tahu macam mana keadaan lagu-lagu di Malaysia sekarang. Saya bukan berniat untuk provok atau membandingkan kualiti lagu sekarang dengan dulu-dulu, mungkin arus permodenan yang kian meningkat membuat magis-magis itu juga perlahan-lahan tertimbus. Kalau dilihat karya-karya terdahulu, kita seperti dinyanyikan sebuah puisi indah yang membuat kita terfikir apa sebenarnya maksud tersirat yang ingin disampaikan, dan itu semua dihasilkan dalam semantik yang berbeza, diikuti dengan lenggokan musik dan irama-irama yang efisien dan terkesan di telinga. Itu yang saya tercari-cari dalam lagu kita sekarang, yang seperti kehilangan “umph”nya. Apakah hanya saya yang terfikir sebegitu?
"Rasa" - loQue melakarkan rasa di sebalik letting go, kembali ke akar umbi dengan sebuah kotak
dan bunga Anggerik iaitu bersempena dengan nama anak sulungnya, Anggerik Dang Jelita.

Dari pandangan loQue, penyanyi dan pengasas band monoloQue, ianya terserah kepada perspektif masing-masing. Kadangkala, penulis lirik, penyanyi atau mana-mana band harus tahu di mana kekuatan mereka dan bagaimana pula respon masyarakat kepada lagu gubahan mereka. Semua magisnya ada pada diri sendiri - hanya mereka yang perlu cari bagaimana cara untuk meluahkannya.

Melihat daripada ulasannya, saya tertanya bagaimana dia mahu menarik minat lebih banyak pendengar untuk menikmati hasil karyanya serta karya-karya lokal kerana kebanyakan pendengar banyak beralih kepada musik-musik dari negara luar.

Lagu Seru - Apa yang bermain di fikirannya ketika mendengar ayat letting go ialah “seru.”
Kata loQue, “Aku ingin menyeru, menyeru sesuatu.”

Bagi loQue, matlamat dan rezeki berbeza-beza. Dia lebih mengutamakan kualiti karya seninya. Untuk orang lain faham dan suka apa yang hendak disampaikannya adalah salah satu cabaran dan itu adalah risiko dalam bidang kerjayanya. Dia kini lebih berminat untuk menyebatikan genre grunge/alternative/independent mengikut rentak serta mesej-mesej tersendiri untuk dikongsikan kepada semua pendengar.

monoloQue mempunyai sentuhan yang unik dalam menghasilkan lirik dan musik. Apa yang diutarakan dari nada lagu mereka amat jarang didengar; liriknya realis dan paradoks. Termasuk juga ketika di atas pentas - lagu-lagu monoloQue digabungkan dengan gaya persembahan mereka, menghasilkan suasana euforia.  

Duit, nak cari duit
Kenapa kau tak jatuh dari langit
Hidup ini memang perit
Kalau kau hamba wang ringgit

Duit, nak cari duit
Kenapa kau tak tumbuh dari bawah parit
Ku tersepit ku dihimpit
Masyarakat hipokrit



"Ringgit (Batu Belah Batu Konkrit 2)" via YouTube

Untuk mendapat pencerahan kepada persoalan saya di atas memang agak sukar, atau saya sahaja yang masih tidak keluar dari kepompong kerana berfikiran begitu. Sebenarnya, ramai penggiat seni lokal kita menghasilkan karya-karya yang berkualiti. Tetapi, masyarakat kadang terlalu menyanjung karya-karya luar sehingga memberi impresi karya luar lebih berbaloi didengar ataupun dihargai.

loQue akhiri kata-katanya, "Hasilkan apa yang kita suka atau minat, tapi jangan onani."



Follow loQue di Instagram | Twitter

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!