Gila

Aku masih ingat belaiannya yang indah waktu itu,
kali pertama aku dibelai sedemikian rupa adalah ketika aku di atas riba mama,
namun kali ini, aku di atas riba seorang wanita yang cantiknya tidak terkata, rambutnya halus sehalus suaranya,
dan mama kata; dia tidak wujud, hanya fantasi yang aku cipta.

Namun mama, kenapa dia begitu nyata?
setiap kata-katanya masuk terus ke dalam hati aku yang masih mentah.

Mama kata; dia hanya muncul dalam mimpi aku.

Namun mama, kenapa waktu itu aku seperti tersedar, aku tahu aku sedang sedar, adakah aku sudah gila, mama?

Mama hanya diam, rautnya berubah muram.

Kemudian aku tanya abah, abah juga mendiamkan diri. Dan suruh tanya mama.

Dan tiba-tiba, mama hujani aku dengan maklumat yang berat.

Bagaimana aku dalam usia muda sebegitu, mampu menanggung maklumat? Yang ketika itu aku masih lagi cuba menghidupkan watak-watak anime yang aku minat?

Source
Dan jika dibandingkan dengan imaginasi Son Goku sedang bertarung dengan Superman, aku tidak boleh dituduh gila kerana mendamba seorang wanita asing yang melayan aku dengan baik di dalam mimpi.

Dan akhirnya aku dituduh gila.

Kerana sering bertanya kepada orang mengenai wanita asing itu.

Atau adakah kerana aku bertanya, kenapa dia menggoda aku, aku dihantar ke rumah tok-tok bomoh yang merawat aku dengan benda-benda pelik yang aku rasa merekalah yang layak digelar gila.

Adakah aku gila kerana mengeluarkan cecair putih ketika tidur? Dan jikalau aku gila pada waktu itu, adakah mama dan abah juga pernah gila seperti aku? Dan adakah tok-tok bomoh ketika kecil mengeluarkan cecair berwarna biru sehingga kegilaan mereka merebak sehingga sekarang?

Dan mungkin secara nyata, mungkin masyarakat kita yang sedang gila sekarang ini. Sehingga setiap kali si anak bertanya mengenai cecair putih yang keluar, wajah mama dan bapa mereka berubah.

Gila.

Kita menjadi gila kerana mendiamkan perkara ini.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!