Emisi Nokturnal

Kebanyakan orang tahu tentang wet dreams, atau literalnya dalam bahasa; mimpi basah. Apa lagi prosesnya, bukan?

Aku kaitkan wet dreams ini dengan seorang anak kecil yang kebiasaannya bertanya “Mak, aku lahir keluar dari mana?”

Aku masih ingat, dahulu aku juga pernah menjadi seorang anak kecil yang penuh dengan curiosity. Secara tidak sengaja, aku juga mahu tahu dari mana dan macam mana aku dilahirkan. Kata mak, “Kau keluar dari perut mak.”

Klise.

Persoalan ini kadangkala sukar dijawab atau diterangkan secara spesifik kepada seorang anak. Seperti juga persoalan “Aku lahir keluar dari mana?” Biasanya kaum ibu bapa menjawab “...dari perut,” untuk mendiamkan si anak kerana takut akan situasi janggal, rasanya.

Rata-rata, mungkin bukan ibu bapa sahaja yang memberi jawapan sebegini, bukan?

Namun, sebenarnya ini adalah teladan yang bersifat kurang terbuka. Mendidik dengan adanya tapisan itu tidak banyak membantu kerana satu hari nanti, persoalan si anak akan terjawab juga dan ironinya, ia bukan daripada seseorang yang bukan “mengeluarkan” si anak dari “perut.”

Didikan harus bebas dari segi penerangan, walau sekali mempunyai sifat-sifat erotis. Cuma memilih cara untuk menerangkan itu yang memberi beza. Kita harus teliti untuk mendidik secara bebas. Cari cara untuk memberangsangkan fikiran anak-anak melalui metode penerangan kita. Bukan dengan censorship, atau bertapis malu-malu untuk bercerita pasal alat genitalia, atau ejakulasi, persetubuhan, atau ber”anu” itu, ber“anu” ini.

Sampai bila, kan?

Source
Kita juga tahu transisi kanak-kanak ke masa remaja ini seharusnya bagaimana, cuma kita kadang terlebih protektif dan demikian lahirnya niat untuk menyembunyikan hal-hal tabu dan akhirnya, memberikan pemahaman yang mengelirukan.

Tapi, pelbagai cara yang boleh kita lakukan sebenarnya untuk tidak terus menyembunyikan benda alah seperti itu. Seperti contoh; bisik sama diri sendiri, “Aku buat ni untuk mengajar.”

Tidak salah jika menerangkan: “Kamu keluar dari vagina mak,” Kalau ditanya, “Apa itu vagina?” bilang saja “Vagina tu organ reproduksi wanita berupa seperti tabung, tempat keluarnya urin, di sana juga tempat keluarnya kamu,”

Sekaligus, dia sudah belajar perkataan baru iaitu “vagina” dan apa juga fungsinya walaupun tidak secara terperinci.

Termasuk jugalah dengan cerita tentang emisi nokturnal, atau mimpi basah, iaitu ejakulasi lantaran mimpi erotik. “Kalau  sudah pernah mimpi basah, maka engkau sudah akil baligh, sudah besar.”

Mudah.

Cari perkataan senang untuk kau jelaskan, seterusnya membina pemikiran mereka. Penjelasan yang samar-samar cuma akan membuka jalan untuk mereka melakukan sesuatu yang tidak patut, dan membuatkan anak remaja kurang memahami tubuhnya dan tidak memiliki pengetahuan dasar yang cukup tentang kesihatan reproduksi. Malah, sifat berahsia itulah yang sebenarnya membuka jalan untuk mereka melunaskan sifat ingin tahu mereka, silap-silap, esok lusa anak lebih tahu apa itu ‘seks’ daripada ibu bapa.

Ambil pendekatan dari adik Amy, mangsa perkosa yang terjebak dengan gugusan predator seks di aplikasi komunikasi sosial, WeChat. Dia memberi ulasan di dokumentari Predator In My Phone berkenaan sifat ingin tahunya tentang seks yang dijawab sambil lewa oleh keluarganya, “Apa motif kau nak tahu benda tu, sebab belum masanya lagi kau tahu benda tu,” “Kalau sudah kawin, nak tanya benda tu baru boleh bagi tahu,”

Menurut adik Amy yang ketika itu berumur 14 tahun, sifat ingin tahunya tentang seks membibit apabila rakan chatnya memasukkannya ke dalam grup WeChat yang aktif mengongsikan klip berunsurkan pornografi. Chat personal bersama seorang “kawan” yang mempengaruhinya untuk memerankan watak-watak dalam klip-klip tersebut itu berakhir dengan Amy diperkosa.

Teras utamanya di sini ialah, didikan awal daripada keluarga itu adalah yang paling mustahak.

Elakkan pemikiran negatif, menjadi kolot; berterus terang saja lebih baik. Itu adalah proses hidup, azali dan maha lumrah. Biarkan kita dan anak menjadi matang dalam perbualan, jangan terlalu protektif, hanya mahu berkongsi cerita dari Syurga, menganggap anak akan selamanya naif. Sekali-sekala, campurkan juga kaedah asuhan matang.

Melentur buluh biar dari rebungnya. Pendidikan seks yang sesuai usia anak merupakan satu ijtihad untuk menjaga anak dari ancaman yang mengintai. So, melenturlah cantik-cantik.

Aku bukan menyalahkan siapa-siapa di sini. Ibu bapa aku juga begitu dahulu. Bila tiba masa, segala persoalan yang aku tanya dahulu, sudah mendapat jawapan. Aku fikir mereka merahsiakan kerana aku masih budak, masih kecil. Namun, bukankah itu sudah mengajar aku untuk berbohong? Maka, jika ada lagi seorang anak hingusan macam aku dulu, penuh dengan sifat ingin tahu, bukankah aku akan terpengaruh dengan memberi jawapan yang sama? Hmm. Oh well, sebab belum tiba masanya, kan? *Sinis*

Oh, but don’t take my words for it. Aku bukan nak marah-marah. Aku di sini diberi peluang untuk menulis artikel tentang “Wet Dreams”. Mungkin ini adalah ide aku yang kurang tepat atau kurang isi, atau kurang pengalaman atau belum matang, atau belum berkahwin, atau belum mempunyai anak, atau segalanya yang masih serba kekurangan.

Tapi, coba teka? Aku sudah pernah mimpi basah!  



No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!