Dream A Little Dream Of Me

Lampu neon di siling berwarna merah berkelip-kelip sejak kaki saya melangkah masuk ke dalam bilik kecil ini. Dinding yang diwarnakan hijau pekat tidak ditemani sebarang potret. Suram. Di penjuru, hanya ada sebuah rak buku sederhana tinggi. Sarang labah-labah juga setia menemani dan menjalar hingga ke penjuru bilik. Tingkap kecil itu juga seperti tidak pernah dibuka langsung. Suram menambahkan keseraman.

Peluh semakin merecik keluar kerana tiada ruang untuk udara masuk ke dalam. Tulang belakang saya hanya tegak duduk di atas kerusi bulat. Dan hanya sebuah meja kopi menjadi pemisah di antara saya dan Doktor Strange.

Dia hanya diam melihat nota yang saya sendiri tidak tahu apa maklumat mengenai diri saya tertulis. Yang saya tahu, pagi tadi saya diseret oleh polis mimpi untuk ke mari. Setelah sebulan melarikan diri, akhirnya saya berjaya ditemui.

Saya hairan, kenapa saya dibawa ke sini? Bukan terus ke penjara? Saya tidak gila. Apalagi sakit. Saya normal. Sejak saya tiba di sini, hanya itu yang bermain di kepala saya. Ditambah lagi dengan keheningan tempat ini, menambah kerisauan saya.

Doktor Strange seolah menyedari kekacauan di fikiran saya. Dia mendehem dan melihat saya dengan dua biji matanya yang menggerunkan. Membuatkan saya kembali meluruskan badan untuk tegak duduk.

“Baik, Encik...”
“Errr… Freddy,”
“Hmmm… di sini, katanya kamu ada melanggar undang-undang mimpi,”
“Tapi, doktor...”
“Diam, saya tidak suka ada orang menyampuk bila saya bercakap”

Kerisauan saya bertambah. Jantung saya berdegup kencang dan peluh semakin deras mengalir keluar daripada kelenjar peluh.

Apa yang saya tahu mengenai Doktor Strange hanya satu, tiada seorang pun selepas berjumpa dengan dia akan kembali ke rumah. Semua akan dihantar ke pusat psikiatrik. Menurut khabar angin daripada rakan-rakan, hanya ada seorang saja yang berjaya keluar daripada pusat psikiatrik itu, dia ialah mahkluk yang berada di depan saya. Yang kini bertugas sebagai pakar sakit mental. Di samping menjadi pakar kaunseling. Juga merangkap doktor terhebat di sini.

Saya sangat malang.

Saya rindukan katil saya di rumah, buku-buku klasik yang boleh saya baca sambil bersandar di kerusi malas, kopi dan biskut coklat yang masih lagi panas sambil melihat matahari hitam berlayar di langit hijau. Saya mahu pulang. Tapi, menyedari hakikat bahawa kaki dan tangan saya digari, semua itu mungkin hanya mimpi tinggal mimpi.

“Katanya di sini, encik sudah berkhidmat sebagai Agen Ketakutan sejak 1984. Benar?”
“Ya,”
“Selama khidmat encik, sudah berapa kali encik langgar peraturan?”
“Errr, baru sekali. Bulan lalu,”
“Encik jamin?”
“Ya doktor, tapi doktor...”
“Diam, satu soalan, satu jawapan.”

Kepala saya semakin menunduk ke bawah. Tangisan air mata tidak mampu saya kesat. Saya tidak sedar berapa banyak air mata yang mengalir. Saya takut dan bercampur menyesal. Kalaulah saya tidak buat silap bulan lalu, mungkin pagi tadi saya masih lagi menyiram bunga di laman. Rumput yang sejak dulu sudah semakin menyemak, mungkin saya sudah uruskan.

Doktor Strange berdiri dan memandang ke arah lampu di atas siling berwarna merah. Saya hanya diam menunggu kata putus untuk dihantar ke pusat psikiatrik.

“Hmmm… tidak banyak yang boleh saya lakukan di sini, encik...”
“Freddy,”
“Encik Freddy, saya minta maaf. Sebab menurut siasatan polis, sebulan lalu encik didapati tidak berlumuran darah semasa tidur, tapi berlumuran air mani, dan ini sangat berlanggaran dengan Akta Mimpi 52, Seksyen 8”
Saya masih mendiamkan diri.

“Adalah menjadi kesalahan bagi seorang agen mimpi jika didapati melakukan perkara selain mengambil nyawa mangsa. Jika didapati dan disabit kesalahan, maka hukumannya ialah ditahan selama-lamanya di pusat psikiatrik. Jika agen tersebut menunjukkan kesembuhan, maka agen itu akan dihantar pulang dan hanya dibenarkan menyambung tugas setelah mendapat pengesahan daripada Doktor Strange. Sebaliknya, jika keadaan agen bertambah teruk, maka agen itu akan dihalau ke dunia realiti,”

Source
Mendengar itu, saya menangis teresak-esak. Selama 32 tahun saya menjadi antara agen terbaik, hanya kerana pelacur jalang itu, saya jadi begini. Saya akur dengan kebodohan saya.

“Sial kau, Succubus.”

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!