Borneon Run '16 After Party: Menghayati Detik Mimpi

Saya nampak lautan manusia seperti kerasukan pada malam itu. Peluh merecik, badan saling berlaga, ratusan tangan di udara, tarian gadis dan jeritan sumbang lelaki. SonaOne gah di atas pentas, gesit tarian nuansa erotik Hellovenus, sengatan feromon tepat ke jantung oleh DJ Soda dan persembahan elektrik Taboo. Semua menjadi warna detik kemuncak Borneon Run 2016: After Party.

A video posted by Ems (@emilydoublechin) on

Tidak banyak yang mampu saya katakan... kecuali mimpi yang akhirnya menjadi realiti! Manakan tidak, saya juga turut bersorak “DJ Soda, DJ Soda, DJ Soda!” bersama para penonton ketika dia tampil ke atas pentas. Siapa yang tidak kenal dengan DJ Soda? Perlukah lagi diperkenalkan? Nama yang sejak sekian lama menjadi bualan lelaki, malam itu, nama itu, membentuk sekujur tubuh yang benar-benar berada di hadapan mata. Jadi, saya tidak akan mempersalahkan tangan-tangan yang mengejang menjulang telefon pintar, setia merakam temasya trap dan hip hop electro DJ Soda dari awal hingga akhir.

Apatah lagi apabila dia galak kali berlegar ke kiri dan ke kanan pentas sambil riang melambai-lambai tangan ke arah penonton. Sehingga anggota keselamatan RELA acap kali menegur lagak segelintir peminat yang sudah semakin hampir melepasi pagar penghalang. Dengan rela hati saya berkata, DJ Soda benar-benar membakar semangat para penonton sehingga ketagih. Sejam waktu persembahannya seolah-olah tidak cukup.

SonaOne

Mungkin DJ Soda penyerlah samudra Borneon Run ‘16: After Party malam itu, namun persembahan artis yang lain juga hebat mempersonakan. Jika kau seperti saya, yang hanya mengenal SonaOne dengan lagu “Apa Khabar”, kau tentu akan terpersona dengan persembahan dia. Tidak mustahil ada juga yang sedang menangis dan bercadang untuk memutuskan hubungan dengan teman lelaki mereka sedari SonaOne tampil di atas pentas. Tahniah kepada SonaOne kerana telah berjaya mengubah persepsi saya mengenai anda — persembahan SonaOne membuktikan yang dia telah berjaya bebas dari bayang-bayang mentornya, Joe Flizzow. 


Hellovenus

Saya mengaku, sebelum ini saya tidak pernah mendengar nama Hellovenus. Yang saya tahu, mereka artis luar negara, memakai pakaian seksi dan menari sambil menyanyi. Stereotaip K-pop. Tapi, di sebalik semua kritikan itu, semuanya tenggelam ketika imaginasi saya berlayar mengenang Raja Pop. Yang mana kebanyakan persembahan, dia hanya fokus kepada seni tari dan efek khas. Namun tetap memukau. Mungkin agak naif untuk menjadikan Michael Jackson sebagai perbandingan. Hakikatnya, siapalah yang mampu menandingi kredibiliti pentas Raja Pop. Hellovenus mungkin tidak mampu memberi impak sehingga mengakibatkan penonton pengsan, tapi persembahan mereka masih terpahat di kepala saya sehingga ke hari ini. Hot gila! Buktinya, sorakan bertenaga dari para penonton memekakkan telinga saya. Dayem.


DJ Soda
Baik. Yang menakutkan saya — peti suara para penonton yang tidak henti-henti melolong seperti kesurupan majnun. Entah jin apa yang merasuk. Saya nyaris keliru, suara mana yang lebih kuat; amplifikasi pentas atau desing lolongan peminat.

Taboo

Seketika itu, langit menurunkan hujan seolah-olah memberi peringatan untuk pulang. Sudah kelihatan lelah di raut penunjang temasya, tapi ternyata semua yang hadir berpegang moto “Pantang undur, kecuali keroyok!” Kemunculan Taboo yang langsung menguasai pentas dengan hit singles Black Eyed Peas menyalakan semangat yang mengalum. Apa lagi bila “Where is the Love” berdentum, semua bersorak serentak menggegarkan langit dan memaksa hujan untuk berhenti. Taboo layak digelar Man of the Match pada malam itu kerana memberikan persembahan yang benar-benar elektrik — menyeru lautan peminat untuk singalong dan sama berdansa, sehingga saya yang pada ketika itu sedang menjauhkan diri daripada pentas turut merasa bahangnya. Walaupun impak Taboo malam itu tidak sekencang ketika dia bersama grup alternatif hip hop / dance pop Black Eyed Peas, persembahan Taboo tetap padu meruntuhkan benteng klise peminat yang beranggapan Black Eyed Peas cuma dijawat oleh Will.I.Am dan Fergie sahaja. John Lennon pasti bangga dengan persembahan dan pilihan lagu Taboo malam itu, yang bertujuan untuk menyebarkan cinta universal ke seluruh alam — tiada yang kaku berdiri, semuanya lincah bernyanyi dan menari seiring tempo “Time of My Life”, “Where is the Love”, “Sorry” (Justin Bieber) dan “Three Little Birds” (Bob Marley).

Hakikatnya, kemeriahan acara Borneon Run ‘16: After Party pada malam itu akan terus menghantui saya dan mereka yang hadir. Gambar dan video yang menjadi koleksi akan terus menjadi memori berharga. Segalanya malam itu terasa seperti mimpi — mungkin masih lagi ada yang tidak percaya kerana dapat melihat artis kegemaran di hadapan mata. Jadi janganlah dikecam mereka yang berbangga kerana hadir pada malam itu.

Peluh yang membasahi tubuh dan mimpi yang menjadi realiti mungkin menjadi faktor tulisan ini. Keghairahan untuk berlari ke atas pentas dan memeluk barisan artis yang membuat persembahan dapat saya rasakan daripada setiap penonton yang memekik kuat nama mereka. Mungkin ada yang pulang ke rumah dan mengambil masa yang lama untuk membersihkan diri, saya tidak pasti. Namun, sejak malam itu, saya terus menunggu kemunculan DJ Soda untuk membintangi mimpi-mimpi saya yang seterusnya.

~

Terima kasih Think Workshop yang sudi menjemput kami ke Borneon Run 2016: After Party.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!