The Ghost of You

Kekasihku baru meninggal seminggu lebih. Tapi aku masih lagi nampak dia tiap hari. Maksudku, nampak macam aku nampak gelas yang penuh berisi kopi. Entah kenapa jadi begitu. Mungkin selepas dia mati, aku dianugerahkan sakti; boleh nampak benda halus. Dan, mungkin sebab itu, aku tidak sedih sangat masa dia ‘pergi’. Tapi, dia saja yang aku nampak. Nenek aku yang sudah lama mati, aku tidak nampak pula. Mungkin nenek aku lepak di Paris. Sebab dia suka tempat tu. Dan kekasihku suka aku. 

Yang bagusnya, aku langsung tidak takut kepada dia. Malah, gembira. Sebab dia masih cantik seperti dulu, saat pertamaku jumpa dengannya. Walaupun dia meninggal disebabkan kemalangan, dan masa mayatnya dikeluarkan, agak sukar juga untuk digambarkan melalui tulisan. Sebab, sedangkan kereta tu pun bukan macam kereta sudah. Apa lagi dia. 

Mungkin mati tidaklah seteruk yang disangka. Kita saja yang takut kepada mati. Sebab kita belum pernah merasai kematian. Kita ni manusia, takut kepada benda yang kita tidak ketahui. Tapi hari demi hari dia bersama aku, dan dia masih lagi kekal cantik dan wangi, membuatkan aku semakin percaya bahawa mati itu tidaklah seteruk yang disangka. Dan aku terus benci kepada filem-filem yang memberi gambaran buruk kepada hantu. 

So, orang lain macamana? Ya, mereka tahu yang dia sudah mati. Masih berkabung atas kematian dia. Tapi, bila aku jumpa mereka dengan berlagak normal (tidak sedih, tidak murung, tidak habiskan masa di pub, dengar lagu emo-emo, lakukan aktiviti lasak dan sebagainya), mereka jadi hairan. Sebab bila mereka tanya; kau OK? aku akan jawab; ya, aku gembira. Sekali tu, bila aku jawab macam tu dengan ibu kekasihku, aku ditampar. Dituduhnya aku ini tidak pernah mencintai anak dia. I mean what?
Bila aku cakap dia masih lagi hidup, kawan-kawan aku cuma kata aku ni masih di tahap delusi. Masih tidak mampu teruskan kehidupan. Ada juga yang anggap kata-kataku itu ada maksud poetic. Konon-konon dia masih lagi hidup di dalam hati aku. Dan oleh kerana itu, aku akan dipeluk dengan erat. Termasuk kawan-kawan dia yang sangat ganteng.

Source: Tumblr
Sekali tu aku naik marah, bila aku pertahankan yang dia masih hidup. Sampai air muka mereka berubah. Aku bawa teman-teman yang tidak percaya pergi rumah aku. Sebab dia ni jadi pelik sikit lepas ‘hidup semula’. Dia tidak boleh keluar daripada rumah. Pasal tulah, hujah aku tidak mampu yakinkan orang lain yang dia ni masih hidup. Tapi, seperti yang aku ceritakan tadi, orang lain tidak mampu tengok dia. Hanya aku saja. Sebab ‘dia’ kata, hati kami bersatu. Dan secara zahir dan batin juga. Katanyalah. 

Aku terus dilabel sebagai separuh gila. Tapi aku tidak gila. Sungguh. Tapi, hanya orang gila saja yang mengaku dia tidak gilakan? Jadi, kamu percaya aku? Baik. Cuba kamu di tempat aku. Orang yang kamu sayangi, hidup kembali. Apa yang kamu buat? Halau dia? Kalau aku, aku tidak sekuat itu. Sebab aku cinta betul dengan dia. Macamana tidak, dia sama seperti sebelum ‘pergi’. Masak, kemas rumah, mandi, berwangi-wangi, tidur sebelah aku, atas aku, dan...cuma yang berbeza, staminanya tidak berkurangan. Sebab, yalah. Aku yang kecewa pula sebab itu.

Jadikan cerita, ramai juga yang datang ke rumah. Sejak aku dilabel separuh gila. Bercampur baur niat mereka. Ada yang datang bawa kitab agama, ada yang datang bawa alat musik, ada yang datang bawa arak, ada juga yang datang bawa alat panggil hantu. Bila aku kata, dia di sebelah aku, semua pucat. Takut.  Ceh.

Kecuali ayah aku. Dia seperti ayah-ayah yang lain. Cuma mengiyakan saja kata-kataku. Ibuku, biasalah. Nasihat itu dan ini. Suruh aku balik rumah mereka. Bila aku jemput tinggal rumah aku, ditolaknya. Risau nanti diganggu oleh ‘dia’.

Ayahku pesan, tulislah sesuatu. Journal barangkali. Atau buku. Aku tanya; tulis apa, dia kata; tulis kisah kamu berdua. Bila aku tanya untuk apa, dia kata nanti aku akan tahu sendiri. Dan aku rasa ide tu tidaklah kolot sangat. Lagipun kisah aku dengan dia ni, bak kisah dalam novel Nicholas Sparks. Romantik dan bernyawa. Kau apa tahu? Cerita cinta yang kau tengok pun pasal drama tipikal pasal anak orang kaya yang tidak mahu jadi kaya dan berjumpa dengan wanita kampung. 

Aku dengar nasihat ayah aku. Malam tu aku tulis kisah kami. Dan dia sangat gembira untuk tolong. Dia jadi muse aku. Bila aku ada lupa pasal tarikh-tarikh penting dalam hubungan kami, dia ingatkan. Nasib dia tidak bertukar menjadi ganas. Kalau tidak, terpaksa aku cari garam di dapur. 

Lama juga aku siapkan buku aku. Dan semakin hari, aku sudah kurang bersama dengannya. Sebab aku ni bukan pandai menulis sangat. Sebab tu aku banyak luangkan masa di luar. Sibuk berjumpa dengan kenalan penulis untuk minta tip. Bila aku balik rumah, aku akan dapati yang dia akan termenung merajuk. Puas aku pujuk. Bukan macam dulu. Kalau masa dia masih lagi hidup, senang aku pujuk. Bawa keluar makan, tengok wayang, bercuti di pulau dan sebagainya. Tapi sejak dia jadi begini, susah.  

Satu hari tu, waktu tengah malam. Ketika aku tengah fokus untuk menyiapkan bab terakhir, tiba-tiba dia terbang lalu duduk ke pangkuan aku. Dan peluk aku erat-erat. Kewangian dia bukan macam dulu. Malah, lebih harum. Haruman yang tidak pernah aku hidu selama ini. Adakah ini haruman bidadari? Kalau ya, adakah aku sedang bercinta dengan bidadari? 

Aku hairan kenapa dia peluk aku macam tu. Sebab ada terasa kesedihan walau dia tidak luahkan. Kan hati kami sudah bersatu, jadi sepatah kata itu sudah tidak wujud lagi. Yang wujud cuma rasa dan itu sudah cukup untuk menggantikan kata-kata.

Dia kata; jangan habiskan buku itu. Nanti dia sudah tidak dapat bersama dengan aku lagi. Dia menangis waktu dia cakap macam tu. Aku sedih. Tapi tanganku masih lagi melekat di atas papan kekunci. Berat juga hatiku sebenarnya. Sangat berat. Aku tidak tahu hendak pilih yang mana satu, dia atau buku ini.

Source: Tumblr
Aku pangku dia. Masuk ke dalam bilik. Pelukan dia masih lagi erat seperti tidak mahu lepas. Perlahan-lahan aku baringkan dia dan baring di sampingnya. Kami saling berpelukan dan  dia masih lagi menangis teresak-esak. Dia ulang balik-balik ayat itu. Akhirnya, seperti seorang bayi yang diberi susu dan dibelai manja, dia tertidur. Aku selimutkan dia dan mengucup dahinya. 

Namun, terdetik di hatiku yang aku mesti siapkan bukuku juga. Sebelum aku melangkah pergi ke ruang menulis, aku tatap dia dengan satu perasaan sayu. Dan, sungguh, dia bersinar seperti bulan yang sedang mengambang. Tidak berkilau seperti vampire itu.

Aku ambil peluang ini untuk menghabiskan bukuku. Aku terhenti seketika kerana mendapati papan kekunciku basah. Air apakah ini? Bukan hujan. Bukan juga air kopi. Lama aku berfikir, dan hatiku terus menjawab itu adalah air matanya. Tidak semena-mena air mataku juga jatuh bercurahan. Namun jariku gagah menari di atas papan kekunci untuk menghabiskan bab yang terakhir. 

Aku berhenti ketika matahari terbit. Aku lega. Aku gembira atas kejayaanku sehingga terlupa tentang dia. Aku pantas berlari ke bilik hanya untuk mendapati dia sudah tiada. Hilang. Katil yang kemas aku dapat seperti tidak disentuh. Apakah ini?

Seluruh pelusuk rumah aku cari dia. Gagal. Nestapa bercampur amarah memikirkan kebodohan. Dan akhirnya lutut aku bertemu dengan lantai. Air mata mencurah jatuh. Aku tahu apa yang aku perlu lakukan.

Aku meluru ke meja komputer. Mungkin kalau aku padam semua cerita ini, dia akan muncul di hadapan aku dengan gembira. Biarlah aku dituduh gila asalkan aku dapat bersama dengannya. Kalau dia tidak muncul, aku sanggup bunuh diri agar aku bersama dengannya selamanya. 

Tapi, apa yang aku lihat pada kaca monitor membuatkan aku tambah sedih. 

"Terima kasih, sayang,"

Aku tahu aku tidak menulisnya. 

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!