Sayang Yang Hilang



kali pertama engkau panggil aku 'sayang' adalah kali pertama aku lupa erti ikhlas,
saat langit bertukar merah, kata sayang itu tetap engkau ulang dan ulang dan ulang; sehingga aku jadi bosan. 
aku penat.
aku malas.

aku ingin bayang kau pergi untuk bagi ruang agar aku kenal erti 'sayang'.

bunga yang engkau kalungkan sebagai ganti cinta dan milik, aku hanya pakai tiap kali engkau tanya 'engkau sayang aku?' dan aku cuma tunduk senyum melayu mengenang;

kalau aku tinggalkan kau, adakah kau akan menangis?
dan aku mahu kau menangis, teresak-esak. tolonglah menangis. 
kerana mungkin dengan tangisan yang jatuh ke bumi dan memberi nyawa kepada pokok, aku akan kenal erti ikhlas.

dan mungkin dari pura-pura aku pula yang kejar kau ke sana ke mari membawa cinta yang menggunung.

sebab, aku tetap ingin bayangkan rumah kecil kita di tepi tasik, pada musim bunga, pankek epal di atas meja, kopi di tangan dan gelak tawa melihat gelagat anak kita berkejaran dengan Tobi, anak anjing yang kita bela.

namun, sudah terlewat untuk aku,
kerana engkau sudah sememangnya tidak wujud di hatiku dan cuma wujud di akalku.

engkau hanyalah matahari menyinar terangi bumi dan aku di bawah sedang memaki kepanasan.

sedang aku lebih rela menjadi bulan yang sepi ketika semua jasad sedang tidur memeluk kekasih.

Sayang, setiap sajak yang kau lukis pada tubuhku sudah bertindih dengan tulisan potret bekas kekasih-kekasihku.
biar beribu metafora yang engkau karang pada setiap malam, hanya jadi sia-sia.
kerana metafora itu engkau jadikan sebagai senjata,
yang aku sudah baca tiap hari pada raut wajahmu,
dan terpaksa aku koyakkan; bakar menjadi abu,
agar engkau menangis,

dan mengajar aku erti rindu bila engkau hilang selamanya.

1 comment

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!