Mirokronik

Source: Tumblr

Jamal tersentak daripada lamunannya. Dia pantas mengambil surat-surat yang terjatuh akibat pelanggarannya dengan seorang perempuan random di tengah kepesatan kota. Tangannya gundah mengutip serentak surat-surat yang jatuh di aspal jalan yang basah-basah tempias dari hujan subuh tadi. Hampir separuh daripada suratnya yang jatuh terikut basah. Dia mengeluh, meratapi surat-surat yang membuatkan dia tidak tidur lena selama tiga hari itu. Dilemanya membawa kepada keputusan akhir dengan mengakhirkan riwayat surat itu di tangan api.

Sambil membezakan surat yang basah dan kering, sekilas Jamal melihat namanya tertulis di atas surat dengan tulisan cakar ayam, dakwat pen yang pudar dan sekali dengan nama penghantar. Surat yang dahulunya pernah membuat Jamal mengalami detik-detik bahagia dengan cara vintage di zaman serba moden.

Dia melanjutkan perjalanannya ke kedai dengan niat membeli pemetik api. Mungkin baginya untuk membakar surat-surat itu mudah, seperti mengunakan api dapur atau meminjam pemetik api jiran. Namun dia lebih memilih gaya yang lebih sentimental, dengan membeli pemetik api Zippo yang selalu digunakan dalam filem-filem kegemarannya. Atau, dia masih belum pasti dengan keputusannya sendiri. 

Hampir sepanjang hari Jamal menghabiskan masa untuk mencari pemetik api, dan memberi peluang kepada dirinya untuk menetapkan keputusan yang tidak akan dikesal. Segala alatan ritual untuk membakar surat sudah tersedia di motel kecil yang di sewanya, yang terletak di pertengahan kota raya yang serba sibuk. Waktu untuk memulakan ritual di bilik tidak lagi mencemaskan Jamal, seperti cemasnya dia membuka setiap surat-surat yang dihantar itu pada masa dulu. Dan bunyi gendang berdentum, bunyi xylophone, bunyi kayu gendang berlaga yang menandakan Sally berada dekat dengannya juga, turut hilang dikaburi dengan bunyi hon-hon kereta yang sesak di jalan raya.

Jamal segera memulakan ritual yang hanyalah menggunakan pemetik api dan tin susu kosong yang besar, di meja bilik motelnya.

“Mungkin kau harus letak surat yang basah di bawah surat yang kering itu,” Bilik yang penuh dengan kesibukan kota itu hilang secara tiba-tiba. Dengungan statik memekakkan telinga Jamal dan bunyi gendang berdentum, xylophone, bunyi kayu gendang berlaga perlahan-lahan membisik telinganya.

“Kenapa ya? Kenapa aku terasa bodoh kalau kau ada dengan aku?” Ritualnya tertangguh seketika. Jamal melihat Sally yang sedang duduk bersilang kaki bersebelahan dengan meja depan. Dia merebahkan belakang badannya di kerusi.

“...atau kau bakar alas katil yang kita guna bersama dulu tu.” Sally menutup senyum dengan tapak tangannya yang kecil. Senyumnya membuatkan Jamal teringat kepada kenangan yang ingin dia lupakan. Sesekali, angin menghembus memasuki ruang jendela bilik dan meniup langsir putih susu serta rambut Sally lalu menguraikan haruman yang tidak pernah berubah di deria hidu Jamal.

Jamal mengeluh nafas yang panjang. “Cliché. Sungguh cliché kau datang pada waktu-waktu begini. Macam waktu kau tinggalkan aku. Aku tahu kau memilih yang terbaik. Jadi kau memilih untuk meninggalkan aku pada waktu aku betul-betul perlu kau. Sekarang, aku ada kerja. Kiranya semua sudah aku ada. Dan aku berhak juga untuk memilih yang terbaik untuk aku juga kan?” Jamal mencapai surat-surat yang ada di depan meja.

“Ni, surat kau. Bakarkan sekali.” Sally meletakkan surat itu di atas meja.

“Dunia menindas aku berkali-kali, Sally. Dunia kejam, macam kau.” Jamal menyalakan pemetik api.

“Salah. Kematian aku yang kejam. Bukan dunia, bukan kau, bukan aku.” Kata Sally.

Jamal, hanya bermonolog sendiri.

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!