Selamat Tinggal Sabah

Rasanya waktu saya tekan apply tu, saya tidak berfikir panjang lagi. Walaupun saya tidak pernah pun merancang untuk sambung pelajaran ke peringkat ijazah. Sebelum saya apply course yang saya rasa saya boleh dapat, sampai kering air liur sir yang ajar kami networking. Tung tang tung tang pasal gaji, pasal masa depan, pasal kelebihan bidang networking dan entah apa lagi yang dia sampaikan. Waktu tu, dia cuma tunjukkan angka gaji tahunan yang saya dapat selama saya bekerja di tempat saya sekarang. Memang kecil berbanding skill yang saya ada. Tidak berbaloi. Jadi, dia kata lebih baik saya sambung belajar. Dan itu yang saya cuba.

Source: Tumblr

Seminggu kemudian, pihak Universiti X hantar emel. Katanya saya layak untuk mengikuti kursus X. Waktu tu, entah kenapa. Hati saya tidak bergonjak gembira, melompat-lompat, menumbuk tangan ke langit dan sebagainya. Saya cuma berkata ‘baik. Dapat juga’. Kemudian saya send screenshot surat penerimaan kepada mak. Mak tanya kalau saya betul-betul nekad untuk pergi. Saya kata ya. Mak pun akur.

Lama lagi masa untuk mendaftar. Jadi saya gunakan masa itu untuk mengurus segala hal yang berkaitan. Termasuk berhenti kerja. Bos semua bagi sokongan. Tiada halangan. Saya gembira. Dan saya resign daripada syarikat yang saya anggap macam keluarga saya sudah selama ini.
Namun, ada juga kata-kata belakang yang suruh saya supaya jangan pergi. Antaranya ‘kau sudah biasa terima gaji, kalau sambung belajar, kena mula dari kosong balik’ dan ‘umur kau sudah tua, lucu juga kalau kau belajar dengan yang tidak sebaya’. Tapi semua saya endahkan. Sebab bagi saya, kali ini saya tidak akan main-main seperti saya belajar dulu. Musim tu, musim nakal. Sekarang, kena jadi matang.
Hari-hari saya berfantasi bagaimana keadaan saya di sana nanti. Sudahlah di ibu kota. Jadi mesti kuat berjalan ke sana sini. Bagaimana saya harus mengatur hidup dan sebagainya. Saya selidik latar belakang universiti itu luar dan dalam. Berbunga-bunga hati saya kalau-kalau berjumpa dengan jodoh dari seberang. Siap lagu universiti pun saya sudah hafal sebelum ke sana.
Jadi saya  pulang ke kampung. Untuk mudah urus hal kemasukan. Banyak juga benda yang kena buat. Rasa muda pula. Ya la, jadi  student balik kan? Untung juga ada muka babyface ni.  
Banyak juga benda rumit yang kena saya selesaikan. Pinjaman terutamanya. Pinjaman nasional ataupun pinjaman awam. Kalau nasional, tambahlah hutang saya kepada kerajaan. Kalau awam, banyak pula hendak diuruskan. Hujung-hujung, saya bertaruh nyawa untuk gunakan pinjaman awam. Dengan syarat, saya kena belajar dan dapat markah yang tinggi setiap sem. Dengan itu, saya berikrar tidak akan jadi malas bila di sana sudah nanti.
Dua hari sebelum bertolak, semua dokumen sudah lengkap. Saya susun kemas-kemas dalam satu folder. Mak tidak perlu bersusah payah tolong macam dulu. Sekarang saya sudah tahu tanggungjawab ini saya yang sendiri harus pikul. Kawan di ibu negara juga sudah saya maklumkan. Dia setuju untuk menumpangkan saya di rumahnya sebelum saya bertolak mendaftar. Hati saya tenang.
Kepala saya masih lagi terngiang-ngiang bagaimanakah hidup saya di sana nanti. Adakah saya ingin kekal jadi orang Sabah, atau saya harus bertukar menjadi sebahagian daripada warga kota di sana. Ada yang pernah pesan kepada saya, ‘hati-hati dengan ibu negara, tempat tu buat kita ketagih dengan dunia’. Katanya itu saya genggam dalam hati. Jadi, saya nekad untuk mahu bergaul dengan geng masjid. Mungkin kalau jadi geng masjid, saya akan jadi rajin dan mendapat berkat daripada Tuhan.
Petang dua hari sebelum bertolak,  saya perlu menghantar beberapa dokumen melalui talian. Dua dokumen sudah dihantar kecuali satu. MUET. Saya hairan, dalam senarai dokumen yang diperlukan, MUET tidak disenaraikan. Kemudian, saya hubungi pejabat admin di universiti tu. Alangkah remuknya hati saya bila mereka maklumkan yang saya perlu hantar sekali slip MUET saya. Bila saya katakan ia tidak disenaraikan dalam dokumen yang perlu disertakan, mereka kata semua kursus berkaitan engineering diperlukan MUET. Bila saya tanya kenapa tidak sertakan dalam senarai, mereka kata mereka lupa kemas kini. Hati saya jadi remuk. Saya kata saya sudah beli tiket. Mereka suruh saya tangguh pendaftaran ke pengambilan kedua. Saya jadi keliru. Kemudian panggilan dimatikan.
Saya hanya diam seolah roh saya melayang entah ke mana. Segala kos itu ini untuk pengurusan pendaftaran tidak boleh saya dapat semula. Wang daftar yang sudah saya bayar juga mereka tidak boleh bayar balik. Jadi apa yang boleh saya lakukan sekarang? Semuanya hangus. Tiada kerja, duit juga tiada.
Jadi, sebagai seorang yang bertanggungjawab, saya buka laptop, kemas kini resume dan cari kerja. Entah berapa banyak kerja kosong yang saya isi. Banyak sangat.
Kemudian saya berhubung dengan rakan sekerja saya dulu. Meluah, dengan senang dia katakan ‘balik sini’. Dan ‘pooof’ saya kembali ke posisi lama saya. Saya juga menolak untuk menyambung pendaftaran kedua bila pihak universiti menghubungi saya.
Silver lining yang saya perolehi banyak. Kalaulah saya sambung pelajaran ke sana, saya rasa saya akan jadi lebih teruk daripada sekarang. Yalah, saya orang kampung, hidup di ibu negara pasti akan menghasut saya untuk menjadi liar.
Saya juga tidak akan mendapati diri saya untuk menulis dan mendekati sastera. Yang selama ini saya tidak tahu saya boleh lakukan dan amat minati. Sesuatu yang memang sudah mengalir di dalam darah saya yang saya tidak pernah sedari. Kalaulah saya sambung pelajaran, mesti mati warisan sastera itu di dalam keluarga. Bayangkan saja, saya sudah mula gemari pakai baju batik dan lebih menghargai seni warisan tempatan. Kalau dulu, semua itu arkaik. Orang jumud saja yang menghargai benda-benda macam tu. Sekarang, saya yang mempertahankan itu semua.
Dan, saya sepatutnya mendaftar pada pertengahan tahun. Tapi, saya tolak mentah-mentah. Peperiksaan MUET juga saya tidak pergi (hangus lagi duit bayar MUET). Tapi tidak apa, sebab bos saya tawarkan kursus yang lagi baik daripada yang seharusnya saya pergi. Empat tahun dikurangkan menjadi lapan bulan. Ya, kursus ijazah kilat. Kursus yang sama juga, cuma tidak ada subjek-subjek yang tidak ada kaitan. Kami cuma perlu belajar mata pelajaran teras sahaja. Yang best, tiada exam. Cuma ada assignment saja. Dan bulan depan, saya sudah akan konvo.
Bila dikenang kembali, saya sedih sangat (hampir menangis juga) sebab tidak tercapai impian untuk melanjutkan pelajaran ke ibu negara. Ya  lah, sebagai anak kampung yang selalu berkeinginan merantau ke sana, siapa yang tidak mahu lepaskan peluang. Tapi, nampaknya rezeki saya bukan di sana. Maka, kepada mereka yang di luar sana, jangan risau kalau impian kita tidak tercapai. Sebab di depan mata kita sudah tentu ada banyak peluang yang lebih baik lagi kan?

No comments

ORKED MAG aims to stimulate dialogue and debate around social and cultural issues, arts, life and beyond, so we’d love to hear from you. Let us know what you think in the comments or connect with us on Instagram, Twitter and Facebook. Cheerio!